Kegagalan Pas dalam perjuangannya sebagai
sebuah parti politik ialah meletakkan 'priority' atau keutamaannya. Maksudnya
agenda yang lebih penting didahulukan dan yang mana yang kurang penting, tidak
perlu diketengahkan. Sejak Pas bergabung bersama PKR dan Dap, keutamaan
politiknya sudah menjadi caca marba.
Kalau dahulu penyokong Pas tahu matlamat
unggul parti mereka ialah untuk menegakkan sebuah Negara Islam tetapi kini
agenda tersebut sudah menjadi samar-samar atau dalam senario terburuk tidak
wujud lagi. Dulu "Membangun Bersama
Islam" selain “Daula Islamiah”
menjadi slogan Pas yang sering dilaungkan tetapi kini suara sedemikian tidak
kedengaran lagi.
Yang ada hanyalah "Negara Kebajikan" setelah Pas bersekutu dalam Pakatan
Rakyat. "Negara Berkebajikan"
jauh bezanya dengan "Negara
Islam" kerana mewujudkan sebuah daulah atau kerajaan yang berlandaskan
syariat adalah spesifik manakala konsep sekarang yang diperjuangkan Pas sudah
jauh menyimpang dari tujuan asal.
"Negara
Kebajikan" adalah hasil kompromi ang dipaksakan ke atas Pas oleh
PKR dan Dap kerana kedua-dua sekutunya menentang sama sekali sebutan mengenai
apa-apa usaha untuk menegakkan negara Islamiah apatah lagi menjadikannya agenda
terpenting dalam kerangka politik pakatan pembangkang.
Sebab itulah dalam "Common Platform Framework" atau Kerangka Persetujuan Bersama antara
Pas, PKR, Dap tidak disebutkan disebut atau dirujuk langsung mengenai "Negara Islam". Yang menjadi
persoalannya mengapa Pas begitu senang sekali menerima tekanan untuk
menggugurkan tema perjuangannya yang merupakan satu penghinaan besar kepada
parti itu.
"Negara
Islam" adalah intipati kepada Pas dan tanpa ideologi politik
tersebut, kewujudan parti itu tidak membawa apa-apa makna dan nilai. Jika
dahulu Pas mempunyai maruah dan identitinya tersendiri dengan matlamat
mendirikan sebuah negara berpandukan kepada Piagam Madinah walaupun ditentang
oleh musuh politiknya tetapi kini parti itu sudah hilang harga diri sungguhpun
kuat di dalam Pakatan Rakyat.
Ketakutan Pas kepada Dap terutamanya amat
ketara dalam isu kalimah Allah. Bukan sahaja Pas merelakan kalimah Allah
digunakan oleh pihak Gereja Katholik malah tidak berbuat apa-apa apabila
kumpulan Kristian bersuara menghina Islam.
Apabila Mahkamah Rayuan tempoh hari menolak
rayuan pihak gereja dalam isu ini, Pas tidak berkata sepatah pun untuk
menyatakan pendiriannya. Malah lidah rasminya, Harakah dan juga versi onlinenya
juga membisu seribu bahasa seolah-olah tidak bersetuju kepada keputusan yang
memihak kepada umat Islam.
Mengapa Pas sudah menjadi begitu teruk dan
hilang arah tujuannya? Paling lantang Pas bersuara pun ialah apabila sayap
pemuda parti mengadakan demonstrasi dan solat hajat di luar Stadium Merdeka
untuk membantah Konsert Metallica 2013 baru-baru ini. Adakah ini sebab musabab
Pas wujud sebagai sebuah parti politik hanya untuk menegah konsert untuk
muda-mudi diadakan?
Bagaimana dengan perjuangan untuk
mempertahankan maruah agama, bangsa dan negara? Oleh kerana itulah keutamaan
Pas memposisikan halatujunya dipertikaikan kerana sememangnya parti itu sudah
hilang arah dan haluan. Ia tidak berminat lagi untuk memperkasakan Islam tetapi
lebih fokus untuk mendapat kuasa yang selama ini menjadi idaman.
Jika dahulu bersendirian atau bergabung dalam
Angkatan Perpaduan Ummah atau Barisan Alternatif tidak menampakkan hasil yang memberangsangkan
kini hasilnya juga agak sama di dalam Pakatan Rakyat.
Pas perlu menerima hakikat parti itu tidak
akan diterima sepenuhnya rakyat kerana sikap melampaunya dalam isu "Negara Islam". Komprominya
hanya helah untuk mendapat lebih kerusi di Parlimen tetapi strategi ini pun
tidak berjaya. Hasilnya pada PRU13 lalu, Dap yang paling banyak merangkul
kerusi Parlimen walhal Pas dan PKR yang bertanding banyak kerusi hanya mampu
gigit jari.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan