Seorang pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB)
hampir terputus tangan kiri akibat ditetak dengan parang setelah beliau
memotong bekalan elektrik di sebuah rumah di Jalan PJS 7/23 Bandar Sunway, di
Kuala Lumpur semalam.
Dalam kejadian 5 petang itu, Muhamad Axdni
Isa, 42, bersama dua lagi rakan sekerjanya dilapor melakukan kerja pemotongan
elektrik di depan sebuah rumah teres sebelum dua orang lelaki yang berada dalam
rumah tersebut tidak berpuas hati dengan tindakan tersebut.
Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Supt
Tan Ah Chua berkata mangsa dan rakan-rakannya telah dimaki hamun lelaki itu
ketika cuba menerangkan kepada suspek bahawa mereka membuat penyambungan
elektrik secara haram.
"Disebabkan bengang, suspek kemudian
keluar dari rumah dengan dua bilah parang dan menetak tangan kiri mangsa
beberapa kali manakala rakannya yang lain terselamat," katanya ketika
dihubungi di Kuala Lumpur semalam.
Tan berkata, mangsa dihantar rakannya ke
Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) sebelum dirujuk ke Pusat Perubatan Pantai
Bangsar di Kuala Lumpur untuk pembedahan.
Susulan kejadian itu, polis menahan dua
suspek berusia 33 dan 45 tahun itu untuk siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun
Keseksaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan