25 Ogos 2013

Kenyataan PM Mengenai ASWJ, Perlu Dipuji




Ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri lalu terkandung perkara-perkara dasar mengenai Islam dan umat Islam tidak sahaja di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia. Ia sangat menarik untuk diteliti kerana fokus ucapan beliau itu adalah betapa pentingnya fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah diperkasa di Malaysia sebagai jawapan terbaik ke arah wahdah atau perpaduan dalam kalangan umat.

Secara langsung ucapan itu menghubungkan dengan pengaruh Syiah yang sedang menular di Malaysia. Ia adalah penegasan penting penolakan kerajaan terhadap ajaran Syiah yang boleh membawa perpecahan di kalangan warga umat. Kenyataan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Abdul Rahim Mohd. Radzi baru-baru ini dengan menyatakan terdapat 250,000 pengikut Syiah di Malaysia adalah sesuatu yang membimbangkan dan sifatnya mengancam.


Dalam ucapan itu Perdana Menteri menyebutkan antara lain, - " Dengan izin Allah, kita dalam keadaan bebas daripada peperangan, persengketaan mahupun bencana alam melampau seperti mana yang melanda saudara-saudara seaqidah di beberapa negara di seluruh dunia".

Alhamdulillah, Malaysia masih dalam keadaan damai walaupun pertentangan dalam kalangan kelompok politik sifatnya terkawal. Bukan tidak ada persengketaan di Malaysia yang boleh membawa apa yang berlaku di sesetengah negara Arab, tetapi kebijaksanaan kepimpinan negara ternyata masih ampuh dan strategik untuk meneruskan “jejak rekod" yang baik dalam pembangunan dan menyebabkan kesinambungan perubahan terjadi dengan terancang.

Bezanya Malaysia dan negara-negara umat Islam lain adalah idealisme Islam diterjemahkan secara beransur-ansur tetapi konsisten. Berasaskan pendekatan Siyasah Syariyyah kepentingan agama terpelihara dan Islam diterjemahkan dalam ilmu dan pendidikan, muamalah dan tijarah, perundangan dan kekeluargaan.

Amat penting gagasan besar Islam tidak saja dalam batas ritual dan rohaniah tetapi harus mampu diterjemahkan dalam pengurusan sumber supaya manfaatnya dirasakan.

Pemerhatian penulis, produktiviti rohaniah umat Islam relatif tinggi dalam konteks ibadah yang sifatnya rohaniah tetapi produktiviti amaliah umat Islam relatif rendah kerana tidak adanya perancangan konkrit dan strategik bagaimana Islam mampu berkembang dalam realiti masyarakat yang serba kompleks dan majmuk.

Sebab itu, Perdana Menteri menyarankan supaya pendekatan wasatiyyah atau kesederhanaan dijadikan pendekatan dalam situasi Malaysia baik dari segi dakwah dan tarbiyyahnya mahupun pendekatan politik yang diambil. Pendekatan wasatiyyah bukan bermakna kita meleburkan soal prinsip tetapi ia memperlihatkan kebijaksanaan iaitu perimbangan idealisme dan realiti dalam gagasan yang praktikal dan relevan.

Tambah Perdana Menteri : Dalam konteks Islam dan Perpaduan Nasional - tiadanya ijmak atau kesepakatan dalam perkara asas beragama ditambah pula polemik tanpa berkesudahan yang akhirnya akan merugikan semua pihak". Kenyataan Najib itu amat relevan di mana-mana dalam dunia Islam. Mesir, Tunisia, Syria, Libya, Iraq dan banyak lagi tidak pernah reda dengan pergolakan yang serius. Sesama Islam bersengketa dan berbunuhan.

Musuh-musuh Islam tidak perlu mengatur strategi untuk menghancurkan Islam lantaran di kalangan kelompok yang berbeza fahaman sedang menghancurkan yang lain dan akhirnya pihak ketiga yang akan mengaut keuntungan. Tradisi muzakarah hampir pupus, jiwa tasamuh atau toleransi sudah hilang. Yang muncul kini ialah sikap kebencian yang melampau dan dendam kesumat yang tinggi sehingga hilang rasa muafakat terhadap hal-hal yang kita patut bersama.

Ia ditambah dengan polemik mencari kesalahan orang lain dan tidak pula menyumbang untuk membangun fikrah umat. Rasa tidak bersyukur terjadi. Yang dilihatnya hanya kuasa politik. Bila dapat kuasa politik program pembangunan dan perubahan untuk menyantuni masyarakat tidak ada. Syarah dan tazkirah dijadikan tunjangan menghina orang lain untuk memelihara muslihat sendiri.

Moga Ramadan yang berlalu dan Syawal yang perlahan-lahan meninggalkan kita ini membawa warga umat berfikir sejenak sehingga bila sengketa dalam kalangan umat akan berakhir.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
\ /