Polis ketika membuat pemeriksaan terhadap pasangan terbabit. |
'Kami tak buat apa-apa encik. Saya dan teman
wanita saya sedang berbincang tentang pelajaran.'
Itulah alasan sepasang kekasih yang ditemui
berbaring di dalam kereta mereka di Taman Tasek Kulim ketika polis membuat
rondaan cegah jenayah di sekitar kawasan itu. Ketua Polis Daerah Kulim
Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, pasangan itu masih menuntut di sebuah
Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di sini.
Menurutnya, ketika polis membuat rondaan,
kelihatan sebuah kereta jenis Perodua Myvi dalam keadaan mencurigakan di tempat
letak kereta taman berkenaan kira-kira jam 3.30 pagi.
"Apabila menghampiri kenderaan terbabit,
polis mendapati kedua-dua pasangan itu sedang berbaring di dalam kereta. Terkejut
dengan kehadiran polis, suspek perempuan terus bangun manakala teman lelakinya
keluar dari kereta dalam keadaan kedua tangan memegang seluar yang
dipakainya," katanya.
Ketika ditanya pada suspek lelaki, apa yang
sedang mereka lakukan dalam kereta dan berbaring dalam keadaan gelap, pelajar
tahun akhir itu memberi alasan bahawa mereka sedang berbincang tentang
peperiksaan yang akan mereka duduki tidak lama lagi.
"Kami belajar di IPTA sama. Saya
sekarang ini belajar dalam semester akhir manakala teman wanita saya belajar di
semester tiga. Keluarga kami sudah tahu kami berkawan sejak dulu lagi,”
katanya.
Ghuzlan berkata, setelah membuat pemeriksaan,
polis mendapati pasangan itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
"Polis akhirnya mengarahkan mereka
beredar agar perkara yang tidak diingini dapat dielakkan. Sedih saya lihat
perlakuan anak-anak muda sekarang ini, ibu bapa diharap memantau anak dalam apa
keadaan sekalipun,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan