Penyanyi dan penyampai radio
Suria FM, Adibah Noor tidak berasa terkejut jika lagu duet baharunya bersama
penyampai radio Era FM iaitu Dina Nadzir berjudul Malaysia Kau Ku Cinta tidak
dimainkan oleh stesen radio swasta lain. Biarpun begitu, penyanyi berusia 34
tahun ini agak terkilan dengan diskriminasi yang dilakukan oleh pihak
pengurusan stesen radio jika lagu tersebut dianggap sebagai satu produk
daripada pesaing mereka.
"Ketika lagu ini diedarkan,
pihak Sony Music sudah beritahu awal-awal besar kemungkinan ia tidak dimainkan
di radio swasta lain kerana saya dan Dina kedua-duanya penyampai radio. Saya
berasa terkilan kerana lagu tersebut adalah atas kapasiti kami sebagai penyanyi
dan bukan penyampai radio," katanya.
Bagaimanapun, Adibah berkata, dia
faham dengan perkara tersebut dan hanya berserah kepada rezeki yang datang.
Adibah juga tidak menyalahkan deejay radio berkenaan kerana itu bukan bidang
kuasa mereka untuk buat pemilihan lagu, mereka juga menerima arahan daripada
pihak pengurusan.
Dalam pada itu Adibah juga mengakui
sejak menceburkan diri dalam bidang penyiaran radio, lagu-lagu nyanyiannya
sebelum ini agak sukar didengar di stesen radio lain.
"Saya perasan juga lagu saya
sudah tidak dimainkan lagi di mana-mana stesen radio lain, tapi tidak mengapa
saya percaya pada rezeki. Ketika mula-mula ditawarkan menjadi deejay di Suria
FM, pihak pengurusan sudah beritahu risiko yang bakal saya hadapi ini awal-awal
lagi," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan