Berikutan sambutan baik penonton, pengurusan
Lotus Five Stars Cinemas (LFSC) berharap lagu Negaraku dapat terus
dikumandangkan di pawagam untuk memperteguh semangat patriotisme dalam kalangan
masyarakat. Pengurus LFSC, Garuna Murthee berkata walaupun kempen nyanyian lagu
kebangsaan itu hanya dibuat sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-56, beliau
mahu ia diteruskan kerana mendapat banyak reaksi positif.
"Bagaimanapun, ada beberapa lokasi kami
seperti panggung Coliseum di Jalan Tuanku Abdul Rahman yang tidak dapat
memainkan lagu Negaraku disebabkan format lagu yang diterima berbeza dengan
format mesin kami.
"Namun, penonton yang datang akan
bertanya bila panggung Coliseum dapat memainkan lagu Negaraku kerana mereka
juga rasa teruja untuk turut serta dalam kempen itu," katanya.
Garuna berkata walaupun pada mulanya terdapat
segelintir penonton yang kekok apabila lagu Negaraku dimainkan sebelum tayangan
filem, namun pihak pengurusan LFSC memastikan semua penonton berdiri sebagai
tanda hormat.
Beliau turut mencadangkan supaya nyanyian
lagu Negaraku di pawagam dilaksanakan pada hari minggu dan musim perayaan
memandangkan jumlah penonton yang hadir lebih ramai daripada hari biasa.
Sementara itu, di Kuantan, Ketua Wilayah
Timur Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) Saharudin Rasip berkata
berdasarkan pemantauan pihaknya, semua pawagam terlibat mematuhi arahan itu
sejak 28 Ogos lepas.
Beliau berkata sebelum Negaraku berkumandang,
terdapat juga pawagam yang memasang lampu selain turut membuat pemakluman bagi meminta
penonton berdiri.
Katanya selain pemantauan Finas, Jabatan Hal
Ehwal Khas Pahang turut membantu membuat pemantauan di pawagam terlibat.
Pada 16 Ogos lepas,
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mencadangkan
supaya lagu Negaraku dimainkan sebelum tayangan filem di pawagam seluruh negara
bersempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-56 negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan