Oleh : Shamrahayu A. Aziz
Keamanan negara perlu diutama
Sempena bulan merdeka ini saya
mahu membawa pembaca untuk memahami dengan lebih lanjut mengenai hubung kait
antara kemerdekaan dan Perlembagaan. Walaupun perbincangan seperti ini sentiasa
saja terdapat dalam tulisan saya sebelum ini, pada kali ini saya menumpukan
kepada proses kemerdekaan dan hubung kaitnya dengan Perlembagaan Persekutuan
yang menjadi lambang kemerdekaan kita. Perbincangan ini berguna untuk kita
segarkan kembali pemahaman kita dan seterusnya menambah baik pengetahuan
berkaitan Perlembagaan dan kemerdekaan.
Kita faham bahawa merdeka memberi
erti kebebasan fizikal dan juga kebebasan mental daripada sebarang bentuk
penjajahan. Saya percaya kita sudah maklum dengan maksud kemerdekaan. Dan, saya
tidak berniat membincangkan dengan terperinci berkaitan kebebasan minda dalam
tulisan ini. Perbincangan ini memerlukan fokus yang tersendiri dalam ruang
lain. Dalam ruang terhad di sini saya mahu kongsikan sedikit daripada perkara
berkaitan Perlembagaan dan kebebasan fizikal negara.
Perkara pertama yang begitu
penting untuk kita ketahui dan hayati ialah Perlembagaan adalah simbol
kemerdekaan negara. Perlembagaan juga adalah instrumen utama bagi mencapai
kemerdekaan. Tanpa sebuah Perlembagaan yang diluluskan menerusi proses
penggubalan dan perundangan yang sah, negara kita tidak akan diterima
masyarakat antarabangsa sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.
Untuk meletakkan nama Malaysia
(atau ketika kemerdekaan 1957, Tanah Melayu) dalam peta dunia sebagai negara
merdeka dan berdaulat, negara kita memerlukan Perlembagaan yang sah. Ini adalah
kehendak dan amalan masyarakat antarabangsa.
Pelengkap perjuangan
Menerusi perjanjian kemerdekaan
yang dimeterai selepas berlangsungnya Persidangan Perlembagaan di London pada
18 Januari hingga 6 Februari 1956 dan Akta Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu
1957 serta Perlembagaan Persekutuan 1957 yang diluluskan oleh Parlimen British,
dan seterusnya diluluskan juga oleh Majlis Perundangan Persekutuan, kita
berjaya mencapai kemerdekaan.
Kita mengambil perhatian bahawa
pelengkap utama kemerdekaan ialah Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957.
Oleh sebab itu kita katakan bahawa Perlembagaan adalah simbol kemerdekaan. Kita
harus mengambil iktibar mengenai proses penggubalan Perlembagaan dan juga
proses rundingan kemerdekaan. Kita harus maklum, walaupun kemerdekaan dianugerahkan
kepada kita menerusi rundingan yang tenang ini tidak bermaksud prosesnya mudah
seumpama memetik jari.
Hakikatnya proses yang dikatakan
tenang itu juga membabitkan tumpahnya darah pejuang negara. Hakikatnya juga
kita mencapai kemerdekaan ketika dalam keadaan darurat. Apabila dikatakan
‘darurat’ ia sudah tentu tidak menggambarkan keadaan yang tenang sebagai mana
yang sering kita ungkapkan sebagai ‘proses rundingan’ itu. Rundingan tenang itu
menunjukkan sedikitnya tumpahan darah orang awam untuk kemerdekaan, tetapi
hakikatnya perang gerila dan ancaman komunis begitu ketara ketika itu. Bukan
tiada rakyat dan pasukan keselamatan yang terkorban ketika itu.
Cabaran kemerdekaan
Dalam keadaan darurat itu,
beberapa pihak lain, selain Parti Perikatan yang bergerak bersama dengan
Raja-Raja Melayu, cuba membawa negara ke arah kemerdekaan dengan cara mereka.
Ada yang mahukan kemerdekaan bersama Indonesia dan ada juga mahu menjadikan negara
sebagai sebuah republik sosialis. Persaingan antara pihak-pihak ini bukanlah
sesuatu yang boleh dipandang remeh dalam perjuangan kemerdekaan.
Calang-calang kebolehan pimpinan
terdahulu yang beroleh keyakinan British untuk merdeka ketika negara dilanda
darurat. Bukan calang-calang kepemimpinan juga yang berjaya mengekalkan
kemerdekaan pada masa awal pengisytiharannya. Kapasiti dan kekuatan keselamatan
kita tidak seberapa ketika itu, sedangkan ancaman darurat masih lagi ketara.
Begitu juga perselisihan antara masyarakat Tanah Melayu sendiri.
Kita melihat banyak contoh negara
di dunia yang masih gagal menangani masalah keselamatan walaupun sudah belasan,
bahkan puluhan tahun mencapai kemerdekaan. Kita berjaya melepasi masa darurat
hanya dalam masa tidak sampai tiga tahun dari tarikh kemerdekaan.
Kebijaksanaan rundingan berkaitan
keselamatan Tanah Melayu dalam masa interim persetujuan kemerdekaan dan
pengisytiharan sebenar kemerdekaan, serta masa awal kemerdekaan perlu kita
teladani dalam menikmati kemerdekaan ini.
Pemahaman, penghayatan dan
penghargaan kita terhadap apa juga pengisian dalam Perlembagaan Persekutuan dan
proses kemerdekaan tidak akan menjadi lengkap tanpa kita mengenali sejarahnya.
Insya-Allah kita akan berjaya mengharungi cabaran kemerdekaan ini sekiranya
kita menghayati semua keadaan semasa proses rundingan kemerdekaan dan
Perlembagaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan