Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum
Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia,
Alhamdulillah, segala puji dan syukur yang
setulusnya, dipanjatkan ke hadrat Allah S.W.T., lantaran di bawah lembayung
rahmat dan keredhaan-Nya, kita sebagai rakyat Malaysia, berpeluang meraikan
ulangtahun kemerdekaan negara buat kali yang ke-56 dalam keadaan permai
sentosa. Tahun ini juga merupakan tahun ke-50 Sabah dan Sarawak bersama-sama
menyambutnya sejak 1963.
Sesungguhnya, bersesuaian dengan situasi
semasa, MalaysiaKu Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku, telah dipilih sebagai
tema yang tepat untuk Hari Kebangsaan kali ke-56 ini.
Saudara dan Saudari,
Hakikatnya, telah puluhan tahun rakyat
Malaysia menempuhi pelbagai perubahan dan transformasi bersama, baik dari sudut
politik, ekonomi mahupun sosial. Sepanjang tempoh itu juga, Malaysia menjadi sebuah
negara yang berdaulat dan merdeka, bebas dari cengkaman serta belenggu
penjajahan asing.
Sesungguhnya, kedaulatan menjadi faktor yang
menunjang kita sebagai sebuah negara tidak datang secara bergolek. Telah
banyaknya keringat yang mengalir, telah sekian tumpahnya darah pengorbanan.
Semua itu hasil perjuangan para pemimpin bersama generasi terdahulu, hatta
bersinambung sampai sekarang.
Maka yang demikian, memiliki kedaulatan
bermaksud, kita berhak sepenuhnya dalam segala urusan mentadbir, memerintah dan
menentukan sendiri halatuju negara. Malah, dalam menjiwai kemerdekaan dan
kisah-kisah meraihnya, kita juga wajib terus memelihara dan mempertahankan
perkara-perkara berkaitan Raja-Raja Melayu, kedudukan Agama Islam, serta
keistimewaan Melayu dan Bumiputera, seperti mana bapa-bapa kita terdahulu telah
maktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Saudara dan Saudari,
Kita menginsafi, dunia kini sering berdepan
dengan pelbagai mehnah dan pancaroba. Justeru, kita terdedah dengan pelbagai
ancaman oleh dalang-dalang yang cuba mewujudkan sengketa di serata dunia.
Umpamanya, krisis dalaman yang sedang melanda di beberapa buah negara Arab,
akhirnya bertukar menjadi kecemperaan politik yang berpanjangan.
Pergolakan yang mengorbankan ribuan nyawa
rakyat tidak berdosa sebegini, wajar dijadikan iktibar kepada kita semua.
Konflik yang sedang berlarutan, seperti tiada kesudahannya. Cahaya di hujung
terowong yang dinantikan oleh rakyat mereka, tampaknya masih samar dan buntu.
Demikianlah jika perubahan yang ditagih hanya sekadar perubahan semberono.
Natijahnya, kemusnahan ekonomi dan pertumbuhan negara akan terjejas pabila
tiadanya kestabilan dan perpaduan.
Saudara dan Saudari,
Merujuk ehwal negara kita, peristiwa hitam
pencerobohan bersenjata di Lahad Datu, Sabah baru-baru ini turut mengorbankan
nyawa para perajurit tanah air. Sudah tentu, tragedi berdarah ini akan menjadi
satu pengajaran kepada kita bahawa, Malaysia tidak terlepas daripada terdedah
kepada ancaman musuh dari luar.
Hakikatnya, tragedi walang itu telah
menyentap benak sanubari rakyat Malaysia, tentang peri-mustahak untuk kekal
bersatu, demi mempertahankan kedaulatan negara. Lantaran, kita tidak boleh
kunjung jemu untuk menyemai benih-benih jatidiri dan pucuk-pucuk semangat
cintakan negara di kalangan rakyat, khususnya golongan muda yakni generasi
pewaris.
Pendek kata, sambutan Kemerdekaan bukanlah
sekadar laungan membangkitkan semangat. Lebih dari itu, ia perlu disulami
dengan penghayatan yang mendalam. Sememangnya lagi, kita tidak mahu kemerdekaan
hanya pada nama. Pengisiannyalah yang lebih utama, dan terbukti, kita telah pun
melalui episod-episod seperti perselisihan antara kaum, krisis kewangan dan
kemelut politik. Syukurlah semua itu kita lalui dengan jayanya.
Sesungguhnya jua, perkara utama untuk
direnungkan dalam mencapai maksud ulang tahun kemerdekaan adalah, sejauh
manakah kejayaan kita sehingga kini dalam mempersiapkan dan mempersembahkan
sebuah Malaysia yang progresif bagi ditinggalkan kepada zuriat hari muka.
Jelasnya, pada hemah saya, pelbagai usaha
perlu digembleng dan dibugarkan, demi mencelikkan sejarah kepada generasi muda
tanpa mengira latar agama, keturunan mahupun budaya. Anak-anak muda sebagai
bunga-bunga bangsa perlu terus dibimbing dan diasuh, dipersiapkan dengan
jatidiri dan diperteguhkan semangat patriotisme mereka. Barulah Malaysia dengan
rakyatnya yang berjiwa besar, akan kekal berdaulat lagi merdeka dalam
permaknaan sebenar.
Saudara dan Saudari,
Secara tuntas, Malaysia sebuah negara
berbilang kaum yang unik di dunia. Keunikan inilah menjadikan kita istimewa dan
aset bagi mencapai taraf negara maju berpendapatan tinggi beberapa tahun lagi.
Pucuk pangkalnya, kini bukanlah masanya untuk
kita berpecah belah. Walau apa dugaan yang merintang, kita tidak boleh berputus
asa, sebaliknya harus mara ke hadapan untuk memajukan negara berasaskan
perpaduan nasional. Atas sebab itu, saya yakin dan percaya tiada siapa pun
pihak luar yang berhak mengajar kita bagaimana hendak berjalan, kerana kita
sudah lama bertatih dan melangkah.
Kesimpulannya, rupa dan wajah Malaysia
seperti mana yang kita lihat dewasa ini, telah dibina melalui pelbagai ikhtiar,
perancangan teliti, serta strategi yang rapi oleh pihak Kerajaan sejak berdekad
lalu, mengikut pendekatan serta acuan kita yang tersendiri.
Akhir kalam, saya ingin berpesan kepada semua
rakyat Malaysia, hargailah keamanan, peliharalah keharmonian, pupuklah
perpaduan dengan mencintai watan. Ayuh, marilah kita berpadu, dengan obor
perjuangan yang jitu, demi Malaysia yang satu.
Selamat Menyambut Ulangtahun Kemerdekaan
Ke-56.
Merdeka, Merdeka, Merdeka. Dirgahayu
Malaysiaku.
Sekian, Wabillahi Taufiq Walhidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan