Malaysia bakal mencipta sejarah dunia apabila
Universiti Al-Azhar, Mesir memilih untuk membuka cawangan pertamanya di negara
ini. Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, cawangan Universiti
Al-Azhar itu akan memulakan operasinya di kampus sementara dekat Nilai, Negeri
Sembilan pada September tahun depan.
Katanya, kampus tetap akan dibina di Seri
Menanti juga di Negeri Sembilan dan bakal dikenali sebagai Universiti Al-Azhar
Kampus Tuanku Muhriz. Menurutnya, pemilihan Malaysia itu merupakan
pengiktirafan terhadap sistem pemerintahan dan kepimpinan negara yang
mengamalkan konsep wasatiyyah (kesederhanaan) dalam pentadbiran.
"Berita gembira ini disampaikan sendiri
oleh Sheikhul Azhar, Sheikh Ahmed al-Tayyeb dan Naib Presiden Universiti
Al-Azhar (Pendidikan dan Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr. Ibrahim Salah Al Hodhod
semalam yang bersetuju kampus pertama mereka dibuka di sini.
"Untuk permulaan sebanyak tiga kursus
akan ditawarkan iaitu Usuluddin, Syariah dan Bahasa Arab di kampus sementara di
Nilai," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita
sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas
membuat lawatan kerja bersama delegasi Kementerian Pendidikan ke Mesir, di sini
hari ini.
Seramai 287 pelajar Malaysia dari Mesir
termasuk tiga delegasi dari Kementerian Pendidikan dan tujuh kanak-kanak
selamat tiba di tanah air hari ini dengan menggunakan penerbangan khas Malaysia
Airlines System Bhd. (MAS) pada pukul 8.25 pagi ini.
Menurut Idris, pihaknya juga telah mengenal
pasti sebuah tapak seluas 80.9 hektar di Seri Menanti bagi pembinaan kampus
tetap cawangan universiti itu. Katanya, kampus baru itu akan menggunakan
kokurikulum yang sama dengan Al-Azhar dan pensyarah juga akan dibawa khas dari
sana.
Sehubungan itu, katanya, satu jawatankuasa
khas akan ditubuhkan antara universiti itu dan Malaysia di mana bekas Duta
Malaysia ke Mesir, Datuk Dr. Mohd Fakhrudin Abdul Mukti dan wakil Universiti
Al-Azhar Kampus Malaysia, Datuk Yahya Abd Jalil akan menjadi wakil negara.
Idris juga akan menjadi salah seorang wakil
jawatankuasa bagi penubuhan universiti itu di Malaysia.
Mengulas lanjut, Idris berkata, pemilihan
Malaysia untuk pembukaan kampus baru itu bukan disebabkan keadaan di Mesir yang
sedang bergolak, sebaliknya kerana kepercayaan pentadbiran universiti itu
terhadap kemampuan negara melaksanakan dasar Islam.
"Berkenaan isu kos, pembinaan universiti
ini dibuat secara wakaf di mana kita mendapat dana melalui penderma dan mereka
tidak mahu perkara itu dihebohkan," katanya.
Dalam pada itu, mengulas hasil lawatan
delegasi itu ke Mesir, beliau berkata, beberapa universiti telah bersetuju
untuk melonggarkan syarat menangguhkan ujian ulangan kepada pelajar Malaysia,
namun keputusan lanjut hanya dapat diketahui dalam tempoh terdekat.
Bagi pelajar Universiti Al-Azhar, mereka
boleh mengambil ujian tersebut di Malaysia pada 3 hingga 5 September ini. Ditanya
mengenai perkembangan dua pelajar Malaysia yang ditahan di Mesir, beliau
berkata, pelajar tersebut selamat dan akan dilepaskan dalam masa terdekat ini.
"Mereka sudah dikenal pasti oleh pegawai
kita dan berada dalam lokap polis selepas ditahan kerana keluar ketika waktu
perintah berkurung," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan