28 Ogos 2013

Minda Rakyat Juga Perlu Merdeka Sepenuhnya




Tahun ini sekali lagi kita akan menyambut ulang tahun kemerdekaan iaitu yang ke-56 dalam keadaan yang jauh lebih aman dan selamat berbanding beberapa buah negara luar seperti Mesir, Syria, Iraq mahupun Palestin yang terus bergolak. Hakikatnya kita telah merdeka secara fizikal sejak 56 tahun yang lalu dan saya percaya kita masih mampu untuk mempertahankannya. Buktinya kita tidak perlu takut dan mengikut telunjuk dan arahan orang luar dalam apa jua keadaan sekalipun. Negara kita terus kekal berdaulat dan bermaruah.

Rakyat juga bebas melakukan apa saja asalkan mengikut lunas undang-undang yang telah ditetapkan. Persoalannya sekarang adakah minda rakyat kita sudah merdeka selari dengan kemerdekaan fizikal yang telah kita perolehi sekian lama?


Andai pada hari ini isu perpaduan dan perhubungan kaum terus diperdebatkan, isu bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan agama Islam sebagai agama rasmi terus dipertikaikan dan dipersoalkan, andai institusi diraja tidak dihormati, andai kepentingan peribadi mengatasi kepentingan negara maka jawapannya ialah minda kita masih belum matang dan tidak merdeka sepenuhnya.

Malah apabila pada hari ini kita masih terus prejudis, was-was dan berprasangka buruk terhadap anggota masyarakat yang lain hanya kerana perbezaan agama, bangsa serta ideologi politik jelas membuktikan minda kita terus terpenjara dan tidak lagi merdeka.

Ironinya usia 56 tahun sepatutnya sudah cukup lama untuk mematangkan pemikiran dan tindakan kita tetapi malangnya ia dilihat tidak berlaku. Lebih mengecewakan apabila generasi muda yang kita harap untuk memikul amanah dan tanggungjawab menjaga negara ini dilihat tidak sensitif dan peka dengan apa yang sedang berlaku dalam masyarakat kita.

Lebih merisaukan khalayak apabila ada dalam kalangan kelompok anak muda ini yang menjadi dalang dan duri dalam daging kepada beberapa insiden sensitif yang berlaku dalam masyarakat kita mutakhir ini. Justeru walaupun sudah 56 tahun masalah-masalah asas seperti ini tidak ditangani dan tidak mampu untuk kita harungi dengan bijak dan baik maka minda kita akan terus kekal terbelenggu dan terjajah selama-lamanya.

Kita mungkin boleh bangga dan mendabik dada bahawa tiada siapa menjajah kita secara fizikal. Namun adakah kita sedar bahawa pemikiran dan minda kita masih jauh ketinggalan dan belum merdeka lagi? Jika keadaan ini dibiarkan terus berlaku tidak mustahil untuk kita juga mengalami nasib yang sama seperti negara luar yang bergolak seperti di Mesir dan Syria misalnya.

Oleh itu sempena sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini marilah kita memasang tekad dan impian agar dapat memerdekakan minda kita. Juga supaya kemerdekaan yang kita ada ini lebih bermakna dan signifikan untuk dibanggakan dan dipertahankan oleh setiap generasi di negara tercinta ini.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
\ /