Oleh : Mior Kamarul Shahid Cetak
Di luar sana, ramai yang berkira-kira untuk
bertanding pelbagai jawatan dalam pemilihan UMNO. Bagi pemimpin, sama ada pada
peringkat cawangan, bahagian, Pergerakan Puteri, Pemuda, Wanita dan induk UMNO
itu sendiri, pertandingan itu penting kepada setiap mereka atas pelbagai tujuan
tersendiri. Ada yang mahu berkhidmat kepada rakyat dan negara dan tidak kurang juga
yang yakin bahawa kemenangan boleh mencerahkan masa depan mereka.
Bagi ahli Pergerakan Puteri, Pemuda, Wanita
dan UMNO pada peringkat cawangan, mereka menawarkan diri bertanding jawatan
pada peringkat jawatankuasa kerana di situlah bermulanya perjalanan politik
seseorang. Bagi pemimpin UMNO, seboleh-bolehnya mereka mahu dipilih menduduki
jawatan ahli jawatankuasa sebagai laluan menaiki tangga yang lebih tinggi. Pada
peringkat bahagian, saingan adalah lebih sengit kerana nasib mereka yang
bertanding ditentukan oleh ahli cawangan.
Tidak kiralah sama ada Puteri, Pemuda, Wanita
atau UMNO, sesiapa saja yang memegang jawatan pada peringkat bahagian, dianggap
sudah mempunyai pengaruh yang besar terhadap parti. Untuk mendapat tempat pada
peringkat bahagian, mereka mestilah popular, berpengaruh dan dikenali ramai.
Biasanya, setiap pemimpin UMNO pada peringkat Pusat bermula dari cawangan dan
memimpin Bahagian. Cuma, jawatan berkenaan perlu dipertahankan setiap tiga
tahun.
Pertarungan bahagian lebih menarik
Bagi setiap pemimpin UMNO, kedudukan mereka
di bahagian sangat penting kerana dari sinilah mereka boleh mengukur kemampuan
sama ada boleh pergi ke peringkat lebih tinggi atau tersangkut pada peringkat
itu saja. Boleh dikatakan semua Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan
sebahagian besar menteri Kabinet, kecuali yang dilantik sebagai Senator, adalah
pemimpin bahagian.
Selagi mereka belum dapat menempatkan diri
dalam jawatankuasa pada peringkat bahagian, amat sukar untuk mereka pergi lebih
jauh. Tarikan untuk berada dalam kepemimpinan bahagian sama ada pada peringkat
Pergerakan Puteri, Pemuda, Wanita dan UMNO, ialah kerana peluang untuk
bertanding dalam pilihan raya adalah lebih cerah.
Mereka yang memegang jawatan pada peringkat
bahagian juga biasanya dilantik menjawat jawatan pada peringkat Perhubungan
Negeri yang biasanya dipengerusikan oleh Menteri Besar atau Ketua Menteri.
Itulah sebabnya, pertarungan pada peringkat bahagian begitu menarik dan menjadi
rebutan.
Paling sengit ialah pertandingan jawatan
Timbalan Ketua dan Ketua UMNO Bahagian, apatah lagi jika berlaku
cabar-mencabar. Sering juga berlaku kejutan apabila pemimpin pada peringkat
Pusat atau negeri tewas dalam pertarungan peringkat bahagian. Jawatan peringkat
bahagian ini juga penting kerana selain mereka memerlukan pemimpin, pemimpin
atasan juga memerlukan undi mereka.
Sudah mula uji ‘saham’
Dalam kalangan ahli politik kebelakangan ini,
mereka sudah pun mula menguji ‘saham’ diri masing-masing, sama ada layak untuk
bertanding sesuatu jawatan yang difikirkan sesuai atau mencabar penyandang
sedia ada. Sudah tentulah fokus hari ini ialah kepada peringkat Ketua Bahagian
sama ada Puteri, Pemuda dan UMNO seterusnya jawatan Majlis Tertinggi (MT) dan
kepemimpinan tertinggi parti iaitu Naib Presiden, Timbalan Presiden dan Presiden
UMNO.
Setiap ahli tidak bimbang dengan kesan
kemungkinan berlakunya perpecahan kerana Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) sudah
pun berakhir. Dijangkakan perebutan 25 jawatan MT akan menerima penyertaan
paling ramai. Kebanyakan Menteri, Timbalan Menteri, Menteri Besar dan Ketua
Menteri akan bertanding jawatan MT. Disebabkan kedudukannya yang terbatas,
persaingan pastinya sengit.
Kedudukan dalam MT. MT ialah badan yang
membincangkan persoalan dasar parti. Mereka yang berada dalam MT biasanya layak
menduduki jawatan penting dalam kerajaan hingga ke jawatan Timbalan Menteri dan
Menteri. Bilangan calon MT kali ini dianggap lebih ramai kerana sebahagian
besar EXCO Pemuda yang sudah melewati usia 40 tahun, perlu mencari tapak baru
dalam parti. Jika tidak, kedudukan politik mereka akan terbatas pada peringkat
bahagian atau cawangan saja.
Percaturan, strategi untuk menang
Pada peringkat Pergerakan Pemuda dan Wanita,
persaingan untuk jawatan tertinggi kedua-dua sayap parti itu juga menarik
perhatian. Setakat ini, jawatan Ketua Wanita, Datuk Seri Shahrizat Jalil
mungkin ditentang manakala belum ada tanda-tanda jelas Ketua Pergerakan Pemuda,
Khairy Jamaluddin akan ditentang. Pada peringkat Pemuda, jawatan Naib Ketua
mungkin menjadi rebutan kerana penyandangnya, Datuk Razali Ibrahim melepaskan
jawatan kerana melebihi usia 40 tahun. Bagi Puteri UMNO juga, kemungkinan
berlaku pertandingan jawatan ketua adalah jelas kerana penyandangnya, Datuk
Rosnah Shirlin dikatakan akan mencari ruang di dalam Pergerakan Wanita UMNO pula.
Jawatan Naib Presiden UMNO adalah tiga
jawatan yang diberi perhatian. Secara tradisinya, salah seorang daripada mereka
akan dipilih untuk mengambil alih kedudukan Timbalan Presiden parti sekiranya
berlaku kekosongan. Untuk tiga jawatan penting ini, setiap calon perlu membuat
perkiraan kelayakan diri mereka menduduki jawatan itu dari pelbagai sudut.
Dalam pemilihan kali ini, ketiga-tiga pemegang jawatan itu, Datuk Seri Ahmad
Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Seri Shafie Afdal diramalkan
bertanding dengan beberapa calon lain yang menunjukkan minat untuk merebut
jawatan itu.
Setakat ini beberapa orang daripada mereka
sudah pun mula ‘menguji saham’ mereka sama ada diterima oleh ahli akar umbi,
Apa pun, setiap mereka mempunyai percaturan dan strategi masing-masing untuk
menang. Pada peringkat jawatan Timbalan Presiden dan Presiden, setakat ini
tidak nampak calon yang berani beradu nasib bagi kedua-dua jawatan itu.
Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden, Datuk Seri Najib
Razak sudah hampir pasti menang tanpa bertanding. Apa pun, selepas 28 September
nanti, calon yang bertanding jawatan dalam parti akan diketahui manakala pada
19 Oktober pula, keputusannya akan diketahui.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan