Ketua Wira Perkasa, Irwan Fahmi Ideris yang
membuat kenyataan dalam blognya yang bertajuk ‘Sudah Cukup Segalanya DiGadai, Haji Najib Wajar Letak Jawatan’,
nampaknya keseorangan.
Timbalan Presiden Perkasa, Datuk Abdul Rahman
Abu Bakar yang terkejut dengan kenyataan Irwan Fahmi menjelaskan bahawa Perkasa
tidak pernah mengambil pendirian sedemikian. Walaupun Perkasa agak lantang
mengkritik Dato’ Seri Najib dalam mencaturkan PRU-13, namun pertubuhan itu
tidak pernah mendesak beliau meletakkan jawatan.
Menurut Datuk Abd. Rahman, Perkasa sedia
memberi masa kepada Dato’ Seri Najib untuk mengkaji semula strategi PRU-13 yang
dianggap mereka sebagai banyak kelemahan kerana telah mengabaikan penyokong BN
dan sebaliknya lebih mengutamakan tuntutan dan desakan pembangkang serta kaum
Cina.
Perkasa percaya dengan kritikan pertubuhan
tersebut, Dato’ Seri Najib akan dapat membuat percaturan yang lebih baik bagi
menghadapi PRU-14. Dengan itu, Datuk
Abd. Rahman menegaskan bahawa kenyataan Irwan Fahmi adalah bersifat peribadi
dan bukan mewakili suara Perkasa.
Kita sedia maklum bahawa Presiden Perkasa,
Dato’ Ibrahim Ali adalah seorang yang lantang.
Oleh itu, kita pasti, jika Perkasa inginkan Dato’ Seri Najib meletak
jawatan maka ia akan dilakukan oleh Presiden sendiri, bukan orang lain.
Memandangkan Dato’ Ibrahim Ali tidak membuat
sebarang kenyataan mengenai perkara ini, maka kita pasti bahawa beliau juga
tidak berpegang kepada pendirian yang sama dengan Irwan Fahmi.
Nampaknya, Irwan Fahmi telah tersalah langkah. Beliau mungkin menyangka yang kenyataannya
akan menerima sokongan padu berdasarkan kritikan Perkasa terhadap kepimpinan
sebelum ini. Namun, beliau gagal
memahami bahawa kritikan bukan bermakna permusuhan. Kritikan selalunya menandakan keprihatinan atas
dasar inginkan yang terbaik untuk subjek yang dikritik.
Irwan Fahmi harus faham bahawa dalam politik,
kritikan dari penyokong adalah sesuatu yang baik dan Dato’ Seri Najib cukup
maklum mengenainya. Perkasa dan UMNO
adalah saudara kandung, seibu dan sebapa, sebangsa dan seagama. Kritik mengkritik adalah atas dasar sayang
semata-mata serta tidak wajar menjadi barah.
Perkasa mengkritik bukan untuk menjatuhkan
beliau, tetapi untuk mengukuhkan kedudukannya, pastinya kerana Perkasa menaruh
sepenuh keyakinan terhadap kepimpinannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan