25 Ogos 2013

Umno Selangor Kena 'Sound Setepek' Dengan Najib




Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru Umno Selangor untuk kembali bangkit bagi memastikan api perjuangan terus membara. Menurutnya, beliau mahu seluruh ahli Umno Selangor untuk melupakan kekalahan teruk pada PRU13 lalu.

Kata beliau, tempoh untuk bersedih sudah tamat dan kini adalah masa untuk menyusun kembali kekuatan.


"Semua pihak perlu melihat kembali segala kesilapan yang dilakukan sebelum ini dan jangan sesekali menuding jari sesama sendiri tetapi bermuhasabah. Sama-sama kita kongsi pendapat dan bukannya nak hukum atau tuding jari.

“Kita tidak mahu ulangi kesilapan tetapi mahu impian jadi realiti dan jangan putus asa,” katanya ketika berucap Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri bersama rakyat Selangor di Institut Kraf Negara di sini malam, kelmarin.

Najib berkata, beliau menyeru Umno Selangor untuk mengadakan bedah siasat bagi mengkaji segala kelemahan yang berlaku. Menurutnya, mesti ada tindakan mahupun keputusan yang dibuat sebelum ini tidak tepat.

“Kita kena buat kaji selidik, sanggup kupas bagi melihat setiap apa berlaku pada PRU13. Mesti ada berlaku kelemahan, keputusan yang silap atau tersasar hingga menyebabkan kita tak dapat capai apa diharapkan,” katanya.

Beliau juga menasihatkan Umno Selangor supaya ‘tidak marah’ dengan rakyat berhubung keputusan PRU13 lalu. Najib berkata, beliau mahu semua wakil rakyat dipilih tidak menjauhi rakyat sebaliknya sentiasa dekat di hati rakyat.

“Jangan marahkan rakyat kerana kalau dia tak sokong kita dia boleh sokong kita pada masa akan datang. Buat kerja sungguh-sungguh...jangan tak hadir Sidang Dun...buat kerja di luar dewan juga. Yang penting amalkan rendah diri,” katanya.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
\ /