Mereka yang mahu bertanding jawatan majlis
tertinggi dalam pemilihan Umno akan datang seharusnya mempunyai sifat malu
serta tanggungjawab dalam memegang jawatan berkenaan. Timbalan Pengerusi Badan
Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor berkata, sebagai
pemimpin, perasaan malu terhadap jawatan yang dipegang adalah penting dan
sekiranya terdapat individu lain lebih baik dari mereka, dan haruslah memberi
laluan.
“Bagi saya, sama ada saya bertanding atau
pertahankan jawatan tak penting. Tapi bagaimana kita mahu kembalikan kegemilangan
Umno. Saya lebih minat melihat yang bertanding ini melakukan transformasi bagi
mengembalikan semula kegemilangan parti," katanya ketika ditemui pada
majlis rumah terbuka Parlimen Tampin di Padang Futsal Tampin, di sini, semalam.
Menurut Ketua Umno Bahagian Tampin itu,
setakat ini beliau masih lagi belum membuat keputusan untuk bertanding dalam
majlis tertinggi, bagaimanapun secara peribadinya, beliau mahu melihat sama ada
dia masih relevan atau tidak di dalam Umno.
Ketika ditanya mengenai tindakan
mempertahankan jawatan ketua bahagian sekiranya diminta berbuat demikian,
Shaziman berkata, beliau tidak kisah sekiranya ada individu lain mahu bersaing.
“Sebenarnya kalau ada cabaran pun digalakkan.
Saya nak yang terbaik tapi jangan sampai buruk-burukkan orang dan sampai
bergaduh sehingga pada pilihan raya umum akan datang," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan