Sememangnya adalah sesuatu yang memualkan
apabila ada pihak cuba menjadi 'wira songsang' kepada penjenayah-penjenayah
yang ditembak mati oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM). Kelompok ini sama sekali
tidak pernah mahu mengkaji kenapakah polis terpaksa melakukan tindakan
berkenaan dan kenapakah penjenayah tersebut perlu dihapuskan.
Apa yang mereka tahu ialah mempersoalkan
prosedur yang digunakan oleh PDRM dalam melakukan serbuan dan bercakap
berdegar-degar soal hak asasi manusia. Berikutan itu, kenyataan Ketua Polis
Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang mempertahankan tindakan polis dalam usaha
membanteras jenayah khususnya jenayah berat tidak ada salahnya.
Penulis pasti ramai yang menyokong kenyataan
beliau kerana soal keselamatan dan ketenteraman awam terletak di tangan polis.
Justeru tak kanlah dalam berhadapan dengan puak-puak yang 'sah-sah' penjenayah
polis hendak berlembut lagi? Kenapa perlu bercakap soal prosedur? Apakah
penjenayah yang terlibat memahami prosedur berkenaan?
Tak kanlah bila berhadapan dengan kumpulan
yang sudah dipastikan penjenayah berbahaya polis hendak menyanyi lagu P.Ramlee
'Aci-aci buka' pintu untuk penjenayah kaum India, kalau penjenayah Cina kena
cakap 'hello siapa di dalam' atau penjenayah Melayu harus memberi salam? Mungkin
hujah ini nampak 'melucukan' tetapi apakah ini yang dimahukan oleh
kelompok-kelompok yang kononnya memperjuangkan hak asasi manusia.
Atau apakah mereka mahu polis betul- betul
ikut prosedur sedangkan pasukan itu berhadapan dengan kumpulan penjenayah yang
sama sekali tidak ada belah ihsannya? Tidakkah mereka tahu, jika benarlah polis
mengamalkan polisi menembak untuk membunuh sudah pasti tidak ada penjenayah
yang akan menghuni lokap-lokap atau penjara.
Tetapi serbuan yang menyaksikan penjenayah
ditembak mati bukan dilakukan secara sebarangan tetapi mengikut prosedur dan
kaedah yang ditetapkan. Pihak polis pasti sudah membuat tinjauan dan risikan
sebelum serbuan dilakukan, polis bukannya melancarkan serangan membuta tuli. Oleh
itu adalah lebih baik tidak kira siapa pun janganlah terlalu ghairah hendak
mencari kesalahan polis, sebaliknya berfikir dengan waras dan terbuka apakah
wajar polis harus berlembut dengan penjenayah bersenjata api?
Kita harus ingat mereka yang memiliki senjata
api atau terlibat dalam kumpulan gangster atau kongsi gelap sudah memahami
bahawa mereka sengaja mencabul undang-undang. Justeru polis mempunyai
tanggungjawab membanteras kelompok ini demi memastikan keselamatan dan
ketenteraman awam. Kalaulah pihak polis mahu melayan hujah-hujah berunsur
politik dan melihat tindakan polis dari segi perkauman, sampai ke bila pun
perbuatan jenayah tidak dapat dibanteras.
Sebab itulah penulis dan mungkin jutaan
rakyat Malaysia lain bersetuju dengan kenyataan Khalid bahawa polis tidak akan
mempedulikan apa juga 'wayang yang mereka mainkan', apa yang penting bagi polis
ialah memastikan ketenteraman dan keselamatan awam terjamin. Ini memandangkan
yang akan disalahkan jika jenayah meningkat ialah PDRM. Oleh itu apabila polis
bertindak tegas janganlah pula mempertikaikan kewibawaan dan kemampuan pasukan
berkenaan.
Sememangnya kita tidak faham kenapakah setiap
kali berlaku kes menembak mati penjenayah daripada kaum tertentu, maka akan
muncul 'wira-wira songsang' untuk mempertahankan mereka. Pelbagai hujah dan
desakan mereka buat termasuklah mahu inkues diadakan. Kalaulah begitu, berapa
banyak inkues hendak dilaksanakan bagi semua kes jenayah yang melibatkan
kematian penjenayah?
Mungkin kerana wujudnya 'wira-wira yang tidak
diundang' inilah, kumpulan samseng dan kongsi gelap semakin berani termasuk
secara terbuka memaparkan lambang kumpulan mereka ketika pengkebumian ahli
kumpulan berkenaan. Tindakan mereka melanggar undang-undang tetapi mereka
seolah-olah tidak takut kerana pasti ada 'wira-wira songsang' akan tampil
membela mereka jika polis mengambil tindakan.
Berikutan keadaan itu, adalah wajar polis
meneruskan ketegasan mereka membanteras kumpulan penjenayah tanpa mengira siapa
pun mereka. Biarlah hanya segelintir sahaja kelompok di negara ini yang dilihat
mahu menjadi 'pembela' tidak bertempat kepada kumpulan penjenayah tersebut,
tetapi kita yakin terdapat jutaan rakyat berdiri di belakang polis.
Oleh itu jangan ada sekelumit pun perasaan
gentar untuk melaksanakan apa juga usaha bagi membanteras jenayah khususnya
jenayah berat. Kepada puak-puak yang cuba menjadi 'wira-wira songsang' kepada
penjenayah- penjenayah tersebut, berfikiran terbukalah, kalau pun hendak
mencari populariti atau kepentingan politik.
Perbuatan jenayah berat yang kini semakin
meningkat bukan soal politik tetapi soal keselamatan dan ketenteraman awam.
Hargailah pengorbanan dan kegigihan polis dalam membanteras jenayah, janganlah
hanya pandai mencari salah pasukan itu sahaja. Daripada membuang masa
mempertikaikan prosedur yang digunakan oleh polis adalah lebih baik bekerjasama
dengan pasukan itu untuk membanteras jenayah.
Hendak mengkritik, membidas dan mengecam
pasukan polis dalam soal pembanterasan jenayah memang mudah tetapi tahukah kita
betapa berat tanggungjawab pasukan itu dalam memastikan setiap malam rakyat
Malaysia dapat tidur dengan lena tanpa rasa risau dan bimbang serta keesokkan
kita boleh bangun menjalankan urusan harian dengan aman.
Tidakkah semua itu kita nikmati kerana jasa
anggota-anggota polis yang bertugas 24 jam demi memastikan negara ini terus
aman dan tenteram. Janganlah kerana kematian individu yang sudah disahkan
sebagai penjenayah, kita hendak meruntuhkan moral perjuangan anggota-anggota
pasukan keselamatan. Kalau pun tidak mahu berterima kasih atau memberi pujian,
cukuplah sekadar mendiamkan diri dengan membiarkan pihak polis menjalankan
tanggungjawab mereka.
Kita percaya dalam usaha membanteras jenayah,
pihak polis mengamalkan pendekatan profesionalisme yang tinggi dan bukannya
mengikut perasaan. Dan mereka sudah pasti tidak akan tergugat dengan kecaman
kelompok yang seolah-olah tidak tahu menghargai pasukan keselamatan tersebut. Adalah
diharapkan rakyat Malaysia secara keseluruhannya akan terus berdiri teguh di
belakang pihak polis kerana keselamatan dan ketenteraman kita berada di tangan
mereka.
Dan kita juga mengharapkan ketegasan pihak
polis akan berterusan seperti mana jaminan yang diberikan oleh Khalid. Ia
memandangkan misi polis seperti mana ditegaskan oleh Khalid ialah ''...kami
akan teruskan dengan apa yang sedang dilakukan ketika ini asalkan negara kita
selamat dan aman damai.''
Biarlah kelompok yang sengaja mahu mencari
salah polis 'terjun dengan labu-labunya', pedulikan mereka dan bak kata orang,
'lantaklah apa pun mereka hendak kata,' apa yang penting kita tidak mahu
keselamatan dan ketenteraman awam dipertaruhkan hanya semata-mata kononnya
memperjuangkan hak asasi manusia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan