Oleh : Juhaidi Yean Abdullah
Punca utama Datuk Nik Aziz Nik Mat menolak
Syed Husin Ali sebagai calon kerusi Parlimen Kota Bharu dalam pilihan raya
umum, 10 tahun lalu ialah kerana Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR)
itu berfahaman sosialis. Walaupun pencalonan Syed Husin dicadangkan oleh Datuk
Seri Anwar Ibrahim, Menteri Besar Kelantan ketika itu tetap menolak kerana
menganggap sosialis ‘adik komunis’.
Padanya, orang
berideologi sosialis ‘tidak ada agama’. Apabila keputusan PRU-10 diumumkan,
PAS mengalami keputusan paling buruk sejak memerintah Kelantan pada 1990.
Kerajaan PAS hampir tumbang. Menurut Syed Husin, ketika melawat Nik Aziz yang
terpaksa masuk hospital selepas keputusan pilihan raya 2004, Mursyidul Am PAS
itu menunjukkan reaksi beliau menyesal dengan keputusan tidak membenarkannya
bertanding.
Nik Aziz bukan satu-satunya pemimpin
pembangkang yang tidak percayakan calon sosialis. Beberapa pemimpin lain
menolak kerjasama dengan Parti Sosialis Malaysia (PSM) dalam PRU-13 lalu. Di
kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara, PAS meletakkan calon
walaupun Presiden PSM, Dr Mohd Nasir Hashim bertanding di situ. Akibatnya,
kedua-dua mereka kalah dan kerusi itu dimenangi calon Barisan Nasional (BN).
PSM gagal memenangi sebarang kerusi dalam PRU-13 kerana semua calonnya kalah
dalam pertandingan tiga atau empat penjuru.
Sehingga hari ini, pakatan pembangkang tidak
mampu membuat keputusan sama ada untuk menerima permohonan PSM menjadi
anggotanya. Anwar berkata PSM boleh menjadi parti sekutu jika ia menerima dasar
bersama pakatan pembangkang tapi Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution
menolak.
Kontradiksi pemimpin pembangkang
Pengerusi DAP, Karpal Singh menganggap PSM
layak menjadi anggota pakatan pembangkang kerana pernah memenangi kerusi
Parlimen Sungai Siput pada PRU-12 dan bagi mengelak pertandingan tiga penjuru
dalam PRU-14 nanti. Pemimpin PAS, Khalid Samad pula berkata jika begitu, PSM bolehlah
menggunakan logo DAP dalam pilihan raya akan datang tapi tidak sebagai anggota
pakatan pembangkang.
Kontradiksi antara pemimpin pakatan
pembangkang menjadikan PSM tawar hati. Dr Mohd Nasir masih marah kerana
kekalahannya berpunca daripada perbuatan ‘tikam
belakang’ rakan pembangkang.
“Kita hadapi banyak masalah ketika pilihan
raya. Keadaan kacau-bilau. Walaupun kita lawan musuh yang sama, rakan sendiri
yang khianat. Kita akan kaji hubungan kita dengan pakatan pembangkang. Kita
sedaya upaya mahu bekerjasama tapi pakatan rakyat anggap kita lemah dan
memperlekeh kesetiakawanan kita.
“Kita akui mengalami kesukaran kerana
bilangan ahli parti belum ramai dan parti pun belum kuat untuk menggugat
sesiapa. Sebab itulah kita sanggup kompromi dengan rakan pakatan untuk bantu
tawan Putrajaya.
Malangnya, mereka terjemah keikhlasan kita
sebagai satu kelemahan. Pakatan salahkan PSM apabila ada calonnya kalah. Mereka
tuduh parti sosialis enggan membantu. Tapi mereka tidak pula ungkit kerja
mereka mensabotaj PSM menjelang PRU-13 lalu,” katanya.
Kekecewaan PSM amat jelas dan mendalam
kesannya. Selain gagal menjatuhkan UMNO dan Kerajaan BN, ia menganggap pakatan
pembangkang tidak boleh diharap untuk mengubah keadaan kerana ia juga
sebahagian daripada sistem yang merosakkan masyarakat.
Di persimpangan politik
PAS dan PKR, misalnya, tidak layak bercakap
soal pentadbiran yang baik, kronisme,
nepotisme dan penyelewengan kuasa
kerana itu jugalah yang dilakukan pemimpin PAS dan PKR. DAP tiada hak moral
bercakap mengenai demokrasi dan kepelbagaian kerana ia juga mengamal politik
perkauman. Dalam isu kepentingan Cina dan untuk menghentam UMNO, ia menggunakan
media Cina dan mengharapkan sokongan masyarakat Cina.
PSM kesal dengan kegagalan kerajaan negeri
pakatan pembangkang menjaga kebajikan rakyat, terutama soal pemberian hak
kepada petani, perumahan dan kebajikan pekerja estet, dan mereka yang hilang
pekerjaan. Banyak janji pakatan pembangkang kepada rakyat tidak ditunai. PSM
juga kecewa kerana pakatan pembangkang bersikap prokapitalis, propemilikan harta oleh korporat dan swasta, serta
tidak menghentikan program pelancongan kesihatan yang meluaskan pasaran
perubatan swasta dan menjejaskan kecekapan hospital awam.
Menurut pengasas PSM, Dr Jeyakumar Devaraj,
bekas doktor di Hospital Pulau Pinang, PSM kini di persimpangan politik. “Adakah kita teruskan hubungan baik dengan
pakatan walaupun mereka tetap melaksanakan dasar neo-liberal? Kita boleh
beri mereka ruang tetapi kita akan terus kritik pakatan jika mereka serang rakyat
biasa.” Katanya, kepemimpinan PSM mengkaji kemungkinan tidak lagi mengambil
bahagian dalam pilihan raya kerana tidak mahu terlalu terdedah dengan politik ‘bourgeoise’ atau politik wang sehingga
mengkompromikan pendirian antikapitalis
mereka.
Walaupun aktivis politik, Lim Kean Chye
menganggap PSM diketuai ‘sebilangan
pemimpin komited dan berpotensi menjadi gerakan yang besar’, hakikatnya
parti ini menghadapi masa depan yang malap dalam politik Malaysia. Ia cuba
mengambil modal daripada kegagalan globalisasi dan kapitalisme di Barat untuk
membuktikan keburukan sistem itu, namun ini tidak boleh dijadikan kayu ukur di
Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan