31 Ogos 2013

Masuk Ikut Depan, Bukan Ikut 'Belakang Atau 'Tepi' - Sharizat




Ketua Pergerakan Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata parti itu mempunyai struktur organisasi yang cukup baik dan setiap individu mempunyai peluang serta tempat untuk menyertainya asalkan dilakukan secara berhemah.

"Dalam Umno struktur kita begitu cantik sekali, (ada) cawangan, bahagian, Wanita sebagai tulang belakang, sayap kanan Pemuda (dan) sayap kiri Puteri, ada tempat untuk semua yang minat politik.


"Masuk cara berhemah dan cantik, tak perlu nak masuk ikut 'belakang' (atau) 'tepi', masuk ikut 'depan'," katanya ketika berucap dalam majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini Jumaat.

Beliau berkata anggota ketiga-tiga sayap itu akan terus menyokong dan memberi kekuatan kepada Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Perdana Menteri, untuk terus memimpin negara.

"Pada hari ini, Wanita sudah ada 1.2 juta anggota, Pemuda pun tidak kurang hebat dengan hampir 700,000 anggota, Puteri kira-kira 400,000 anggota. Kesemuanya jika kita satukan, kekuatan kita lebih kurang 67.8 peratus daripada keseluruhan anggota Umno," katanya.

Ketika ditemui pemberita, Shahrizat yang kekal dengan pendiriannya untuk mempertahankan jawatan Ketua Wanita pada pemilihan kali ini, menafikan beliau mempunyai kumpulan tertentu untuk dipilih sebagai calon dalam pemilihan itu.

"Ramai yang nak bertanding, ramai yang layak...jadi kita welcome. Kita tak ada kumpulan...biar kita beri kepada perwakilan untuk memilih," katanya.

Selain itu, Shahrizat berkata jika dipilih mengekalkan jawatannya, beliau akan bersungguh-sungguh membantu kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14, termasuk dalam soal menarik sokongan pengundi muda. Katanya Wanita juga disifatkan sebagai 'ibu' yang boleh membantu mempengaruhi golongan pengundi muda.

"Kita pada hari ini mendapat sokongan yang begitu baik sekali daripada kaum wanita. Dan kami sebagai golongan ibu juga akan 'go all out' untuk bantu menarik sokongan pengundi muda. Kita akan buat persiapan awal untuk mengembalikan semula kepercayaan golongan sasar," jelasnya.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
\ /