Blog-blog pakatan pembangkang sejak semalam,
begitu ghairah memaparkan kenyataan Ketua Wira Perkasa, Irwan Fahmi Ideris yang
meminta agar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meletakkan jawatan
atas alasan kononnya telah gagal memainkan peranan yang sewajarnya. Kelihatan
mereka begitu seronok apabila ada yang keluarkan kenyataan menghentam Perdana
Menteri.
Tapi itu bukanlah satu perkara yang pelik,
kerana sudah menjadi lumrah pembangkang untuk menghentam apa sahaja yang
dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional. Yang pelik, apabila mereka tidak lagi
menghentam dan mula memuji kerajaan.
Berbalik kepada isu berhubung kenyataan
Fahmi, mungkin ada yang merasakan ‘suara’ Fahmi ini mewakili suara seluruh ahli
Perkasa, namun ramai yang merasakan ia hanyalah merupakan pandangan peribadinya
semata-mata. Tambahan pula sehingga kini tidak ada satu pun ‘suara’ yang
dikeluarkan oleh kepimpinan tertinggi Perkasa yang menyokong kenyataan
tersebut.
Malah ada sesetengah penganalisis politik
merasakan ia adalah merupakan percubaan Fahmi untuk ‘menjual diri’ bagi mendapatkan perhatian masyarakat. Maklumlah,
sejak kebelakangan ini Perkasa dilihat tidak lagi ‘segarang’ dahulu. Jadi dia
perlu melakukan sesuatu bagi membangkitkan emosi dan sentimen ahli-ahli Perkasa
untuk kembali dilihat ‘hidup’.
Fahmi dalam kenyataan tersebut mendakwa
keGAGALan Najib adalah disebabkan memberikan peruntukan kepada Sekolah Jenis
Kebangsaan (C) namun masih gagal mendapatkan sokongan menyeluruh dari
masyarakat Cina. Tidak cukup dengan itu dia turut mendakwa pemberian Bantuan
Rakyat 1Malaysia (BR1M) adalah merupakan satu bentuk rasuah kepada rakyat.
Ternyata kenyataan yang dikeluarkan oleh
Fahmi ini terlalu dangkal untuk diterima, kerana umum mengetahui dasar Barisan
Nasional adalah memperjuangkan hak dan nasib semua kaum di Malaysia. Malah Perdana
Menteri sendiri telah berulang kali mengatakan beliau adalah pemimpin untuk
semua masyarakat di negara ini.
Tidak keterlaluan sekiranya dikatakan,
pendekatan Perdana Menteri itu adalah merupakan satu pendekatan yang selari
dengan tuntutan Islam. Sebagai contoh, Nabi Muhammad SAW di dalam salah satu
hadis pernah bersabda bahawa baginda adalah merupakan pemimpin kepada semua
umat dan bukannya pemimpin kepada masyarakat Arab semata-mata.
Oleh yang demikian, ada baiknya untuk Fahmi
memahami konsep kepimpinan dan luangkan masa untuk membuat sedikit kajian
ilmiah sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan. Kerana takut nanti, tak
fasal-fasal Perkasa disalahkan kerana ada dikalangan mereka yang mengeluarkan
kenyataan bodoh.
Malah, sebelum ini Yang Dipertua Perkasa
Pahang, Datuk Dr. Abd. Wahid Abd. Manap pernah berkata dasar yang digubal
kerajaan telah mengambil kira pelbagai perkara dan juga kepentingan rakyat
pelbagai kaum di negara ini dan ini tidak seharusnya dipersoalkan oleh
mana-mana pihak. Menurut beliau lagi Malaysia sentiasa membuat perubahan
daripada semasa ke semasa ke atas setiap dasar yang dilaksanakan dan sentiasa
memastikan tiada jurang besar antara kaum di negara ini.
Fahmi seharusnya sedar, apa yang penting pada
ketika ini ialah berfikir untuk bersama-sama kerajaan bagi mengekalkan
kemakmuran dan perpaduan negara dan bukannya saling tuduh menuduh dengan pelbagai
alasan yang merepek dan berbaur perkauman. Ini kerana dalam membina negara
bangsa, kerajaan perlu memikirkan kaedah terbaik untuk menjaga kemakmuran
bersama yang adil dan saksama. Justeru itu, konsep dan gagasan 1Malaysia adalah
bertujuan untuk memupuk semangat perpaduan nasional antara kaum.
Berhubung isu yang mengatakan BR1m adalah
merupakan rasuah, ia adalah merupakan satu pendapat jelas membuktikan Fahmi
seorang cetek pengetahuannya. Ini kerana sekiranya ia dianggap rasuah, apakah
ini bermakna semua pemberian kerajaan selama itu dianggap rasuah? Contohnya
bantuan untuk ibu tunggal, golongan nelayan, kurang upaya dan sebagainya.
Sedangkan bantuan yang diberikan, tidak
mengira latar belakang, kaum mahupun ideologi politik. Baik orang Pas, PKR
mahupun DAP, asalkan mereka layak dan merupakan warganegara, bantuan tersebut
wajar diberikan. Tambahan pula ianya adalah duit rakyat, maka apa salahnya ia
dikembalikan semula kepada rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan