Nama pelakon Sandra Dewi, 30, menjadi panas
selepas ditahan pihak berkuasa kerana memiliki 18 biji dadah ekstasi di
rumahnya kira-kira awal tahun lepas. Rentetan daripada kejadian itu banyak
pihak mula mempersoalkan pemilik nama sebenar Monica Nicholle Sandra Dewi
Gunawan Basri itu.
Rata-rata daripada mereka tidak percaya
bagaimana wanita berketurunan Tionghua, Belanda, Palembang dan Sunda itu boleh
terlibat dengan insiden memalukan tersebut. Mungkin kerana sebelum ini rekod
Sandra dalam industri hiburan di tanah airnya bersih. Dia tidak pernah ada
sebarang gosip liar yang mencacatkan namanya sebagai figura awam.
Malah pelakon filem Langit Ke-7 arahan Rudi
Soedjarwo itu dikhabarkan sanggup bercuti keluar negara untuk mengelakkan
dirinya terlibat dengan mana-mana cerita yang kurang betul. Lantaran itu ramai
yang beranggapan Sandra sebenarnya telah dianiaya. Ada pihak tidak
bertanggungjawab telah meletakkan plastik berisi dadah di laci di dapurnya.
Jika tidak bagaimana pihak berkuasa dengan
mudah menemui barang terlarang itu di rumahnya yang terletak di Jalan Rama,
Alang-Alang Lebar, Palembang pada 16 Januari 2012. Kejadian itu menyebabkan
nama baik dan reputasi Sandra semakin menurun di mata masyarakat.
Lebih teruk lagi apabila kebanyakan tawaran
berlakon dan bergelar duta mewakili produk-produk sebelum ini dikhabarkan
ditarik balik atau dibatalkan. Semuanya selepas Hakim Mahkamah Tinggi
Palembang, Prof. Dr. Komariah menjatuhkan hukuman penjara selama empat tahun
dan didenda RM250,000 (Rupiah 800 juta) pada 15 Julai lalu.
Dengan keputusan dibuat itu, Sandra terbukti
bersalah kerana memiliki, menyimpan dan menggunakan dadah ekstasi untuk
kegunaan sendiri.
Hidup Umpama Roda
Sebagai artis yang hampir semua keinginan
dalam hidupnya dipenuhi, berita penangkapan Sandra itu turut dikaitkan dengan
nasib kurang baik. Apatah lagi selepas penganut Kristian Katolik itu menyatakan
pendirian untuk tidak mempercayai sebarang ramalan yang disifatkan sebagai
mengarut.
Ini kerana sebelum ini ada pihak yang bijak
meramal telah memberi amaran kepada Sandra tentang mala petaka yang bakal
berlaku padanya. Bagaimanapun Sandra tidak mengambil berat tentang perkara
tersebut. Dia lebih senang hidup tanpa bayangan atau petunjuk yang boleh
membataskan pergerakan hariannya.
Pun begitu ada pihak yang mengatakan insiden
malang Sandra itu sepatutnya dijadikan pengajaran buat artis lain. Apatah lagi
kerana tidak selamanya seseorang artis itu berada di kemuncak populariti dan
kejayaan. Ada ketikanya mereka diduga di atas kejayaan yang diraih sebelum ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan