Bagi mereka yang melihat politik secara
sehala, pastinya menyatakan bahawa penulis seorang yang ‘paranoid’ atau mungkin juga
berhalusinasi jika mengaitkan jenayah di Malaysia dengan Arab Spring yang
berlaku di Timur Tengah.
Namun, bagi mereka yang bermaklumat, mereka
tahu bahawa politik dunia hari ini adalah berkaitan dan tiada satu perkara pun
yang berlaku tanpa dirancang atau diambil kesempatan oleh mana-mana pihak. Dunia
hari ini, terutamanya dunia Islam, sedang mengalami kemusnahan secara
sistematik. Ianya dimusnahkan oleh umat
Islam sendiri dan rata-ratanya atas nama memperjuangkan Islam.
Laungan seperti ‘kerajaan
tidak cukup Islam’, ‘ingin
menegakkan syariat Islam’ dan ‘ingin
menghapuskan kemungkaran’ merupakan punca utama tercetusnya ketegangan
sebelum ia merebak menjadi pemberontakan, keganasan dan kehancuran total. Lebih-lebih
lagi di mana di negara-negara Arab, laungan ini disertai dengan keluhan kemiskinan
dan ketidakadilan di mana ia begitu mudah menjana api kemarahan yang
meluap-luap sehingga sukar dikawal.
Kecetekan minda umat Islam di negara Arab
serta kegagalan mereka mengawal emosi menjadikan Arab Spring tidak sukar untuk
direalisasikan. Sedikit suntikan modal dari luar dan hasutan oleh talibarut
mereka cukup untuk membuat negara-negara Arab jatuh bagai domino dalam sekelip
mata. Senario di Malaysia tidak banyak berbeza sebenarnya. Laungan ‘kerajaan tidak Islam’, ‘ingin menegakkan syariat Islam’ dan ‘ingin menghapuskan kemungkaran’ sudah
lama kedengaran.
Malah, ada yang sanggup menghancurkan negara
hanya kerana isteri pemimpin tidak memakai tudung kepala (tidak cukup Islam). Bagi
mereka-mereka ini, mempunyai pemimpin yang menepati ‘citarasa’ mereka adalah penting untuk menentukan pengakhiran nasib
mereka di akhirat. Pastinya mereka yakin bahawa diri mereka sendiri sudah cukup
sempurna sebagai Muslim dan kini perlu menyebarkan kesempurnaan tersebut kepada
orang lain bagi mendapat ganjaran yang maksima di syurga.
Namun, Malaysia bernasib baik kerana majoriti
rakyatnya masih berfikiran rasional dan tidak mudah dipengaruhi emosi. Di
samping itu juga, sifat semulajadi orang-orang Melayu yang menjadi penganut
Islam di negara ini adalah lemah lembut dan menentang keganasan. Justeru,
biarpun ramai yang bermimpi untuk ‘berjihad’
menentang kerajaan, mereka tidak sanggup memperjudikan nyawa dan nikmat hidup
di bumi bertuah ini.
Maka, laungan ke arah ‘Islam’, hanya tinggal laungan sehinggalah akhirnya parti yang
melaungkannya bersekongkol dengan musuh Islam untuk menggulingkan kerajaan. Kini,
parti Islam itu tidak lagi melaungkan slogan ingin menegakkan Islam walaupun
masih kekal melaung ‘kerajaan tidak
Islam’. Syukur kepada Allah SWT kerana sehingga ke hari ini, laungan ini
masih tidak mampu mencetuskan anarki.
Namun, apa yang berlaku telah membuka ruang
kepada musuh untuk campurtangan, sepertimana yang berlaku dalam Arab Spring.
Kegagalan menjatuhkan Malaysia melalui
permusuhan sesama Islam seperti negara-negara Arab, membawa kepada percubaan
melaga-lagakan antara agama dan kaum. Desakan terhadap penghapusan Akta EO dan
ISA serta Akta Hasutan merupakan sebahagian dari perancangan ke arah kemusnahan
Malaysia yang dibuat melalui pembangkang.
Memandangkan rakyat Malaysia sukar untuk
dihasut untuk memperjudikan nyawa dengan memberontak, maka para gangster dan
kongsi gelap perlu digunakan sebagai pencetus. Harapan musuh adalah agar rakyat
akan terpengaruh dan terbawa-bawa dengan emosi sepertimana orang-orang Arab,
lalu mula merusuh di jalanan.
Rancangan ini semakin terserlah apabila
tindakbalas tegas pihak polis terhadap kumpulan gangster ini dijadikan isu
perkauman oleh beberapa pihak. Pendek kata, apa saja isu yang berlaku akan
sengaja dikaitkan dengan perkauman. Niat mereka yang membangkitkan isu
perkauman ini tidak lain tidak bukan ialah untuk mencetuskan ketegangan kaum.
Namun, mengenali sikap rakyat Malaysia yang
tidak sanggup menggadaikan keselesaan hidup untuk memberontak di jalanan, maka
kita percaya yang harapan musuh ini juga akan tinggal harapan sahaja. Biarlah
para gangster berbunuhan sesama sendiri dan biarlah pihak polis sahaja yang
menguruskan mereka. Untuk rakyat atau pemimpin yang menyokong gangster
semata-mata atas alasan ‘kaum’,
merupakan satu penghinaan kepada intelektualiti sendiri.
Kesimpulannya, rakyat Malaysia wajar berfikir
lebih jauh dalam mencerna apa saja yang berlaku dalam negara hari ini. Jangan kita terjerumus dalam perangkap musuh
yang ingin melihat kita berpecah belah dan bersengketa. Biar apapun berlaku,
anarki bukan jawapannya.
Belajarlah dari kejatuhan negara-negara Arab
kerana apa yang berlaku di sana tidak mustahil boleh berlaku di sini. Sesungguhnya,
kita semua mempunyai musuh yang sama, iaitu kuasa besar yang ingin menguasai
dunia, selain diri kita sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan