Oleh : Rinduan Tee Abdullah
Tulisan ini tidak disenangi oleh beberapa
pemimpin UMNO. Saya tidak kisah. Saya ada hak untuk bersuara. Saya begitu
teruja untuk mengulas pendapat Lee Kuan Yew ketika melancarkan buku
terbaharunya bertajuk, One Man’s View of
the World pada 6 Ogos 2013.
Sebelum itu, nasihat saya kepada bekas
Perdana Menteri ini, beritahu anak, jagalah orang Melayu Singapura baik-baik
ketika usia emas ini. Pastikan mereka boleh duduk sama rendah, berdiri sama
tinggi dengan Cina di sana. Tidak perlulah banyak komen sangat tentang keadaan
politik di Malaysia sehingga sanggup menuduh kerajaan Malaysia sanggup korban
talent semata-mata untuk menaikkan orang Melayu. Ketuanan Melayulah yang
menyebabkan Malaysia mundur, kehilangan talent dan sebagainya.
Asyik-asyik salahkan Melayu. Saya pun ada hak
untuk menyalahkan ultra kiasu Cina
Singapura, yang menyebabkan Melayu di sana dan Malaysia dikhianati. Tanpa
Malaysia, Singapura tidak ke mana-mana jua. Justeru, berterima kasihlah kepada
Malaysia.
Sejak dahulu, Kuan Yew tidak pernah berubah,
sering menjadi isu hak istimewa orang Melayu atau ketuanan Melayu untuk
menghentam Malaysia. Pada beliau, inilah yang menjadi Malaysia tidak maju
seperti Singapura. Alah, sekadar menguruskan negara sekangkang kera, sesiapa
pun boleh buat. Jika Singapura tidak maju-maju juga seperti hari ini, peliklah
jawabnya. Justeru, janganlah terlalu bongkak. Apa yang berlaku di Singapura,
mempunyai kaitan yang rapat dengan kita Malaysia.
Apa yang menjadi masalah dengan hak istimewa
Melayu atau ketuanan Melayu? Adakah dengan hak dan ketuanan ini, bukan Melayu
merempat dan menjadi hamba? Tidak juga. Malah, siapa yang lebih hebat hari ini?
Melayu yang bergelar ‘tuan’? Atau Cina yang bergelar ‘hamba’. Sedarlah isu ini
tidak ada apa-apa, melainkan soal kedengkian dan soal hati untuk memadamkan
sejarah negara. Sebab, setiap negara ada asal-usulnya. Setiap bangsa ada tanahnya. Jika tidak, tidak
adalah nama-nama seperti Tanah Melayu, Tanah China, Tanah India dan tanah-tanah
yang lain mengikut bangsa.
Lagi soalan saya kepada Kuan, jika Kuan Yew
benar-benar mahu mengangkat Melayu, sudah tentu institusi Islam seperti
madrasah (sekolah agama) dan masjid diberikan perhatian. Ini tidak, jika umat
Islam Singapura tidak mengambil inisiatif sendiri, sudah lama kedua-dua
institusi ini terkubur.
Itupun kedudukan institusi Islam semakin
menghimpit. Pihak berkuasa Singapura memaksa institusi ini mengikut kehendak
mereka. Jika tidak, ia akan ditutup. Tanah akan dirampas. Berapa banyak tanah
Melayu telah dirampas (beli) dan dijadikan tanah Cina Singapura?
Akhirnya, untuk mengelakkan keadaan menjadi
lebih buruk, mahu tidak mahu, institusi Islam terpaksa mengikut pihak berkuasa
Singapura. Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) tidak dapat berbuat apa-apa.
Orang agama yang bekerja di situ sudah mati kemelayuan dan keislaman. Cari
makanlah katakan. Jika tidak percaya pergilah membuat kajian di Madrasah Wak
Tanjung. Dengar rintihan mereka.
Talent-talent Melayu yang menjadi pak turut
disimpan dalam kerajaan. Manakala talent Melayu yang cuba membela Melayu dan
Islam Singapura, dibuang jauh-jauh. Ke manakah talent seperti Dr Lily
Zubaidah?. Kenapa beliau tidak diberikan tempat? Kenapa banyak sangat orang
Islam yang bukan berwajah Melayu (India Muslim) yang mendapat tempat di Singapura?
Hanya Kuan Yew dan anaknya sahaja yang boleh menjawab. Janganlah terlalu
menonjolkan diri sendiri hebat. Tanpa Malaysia, Singapura tidak akan ke
mana-mana.
Itupun nasib baik saya bukan menjadi PM dalam
menyelesaikan isu perebutan Pulau Batu Putih. Jika tidak, pasti saya tidak akan
membawa perkara ini ke Mahkamah Antarabangsa (ICJ). Penyelesaian pertikaian
pulau ini adalah perang. Malangnya, kita sudah terlepas. Dunia telah
menyaksikan hilangnya sebuah pulau milik Melayu terlepas kepada ultra kiasu. Di
manakah maruah Melayu? Hari ini Melayu dihina lagi, kita terus diam.
Tersangat jauh bezanya antara layanan
kerajaan Malaysia terhadap SJKC dengan kerajaan Singapura terhadap madrasah dan
masjid. Jika umat Islam di sana tidak mengambil inisiatif sudah lama institusi
ini ditutup. Lihat di Malaysia, SJKC bukan sahaja diberikan keutamaan setanding
dengan Sekolah Kebangsaan (Agama). Hatta, kita pula terpaksa tunduk kepada
SJKC. Niat kerajaan untuk menambah masa Bahasa Melayu bagi memadaikan anak Cina
terus ditentang. Termasuk Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2013-2025 (PIPP).
Dong Jiao Zong sedang aktif untuk mendapatkan tandatangan orang Cina seluruh
negara bagi menentang PIPP.
Di Singapura, sesiapa yang tidak mengikut
arus kebangsaan, bukan sahaja tidak relevan, malah akan dihumban ke penjara.
Kita pula asyik melayan kerana mahukan undi dan mengekalkan kuasa kononnya. Apa
hasil yang kita dapat? Dapatkah undi dan kuasa itu?
Jika Kuan Yew sangat menginginkan talent dari
Malaysia, ambillah orang seperti Namewee, Alvivi dan sebagainya. Malaysia tidak
perlukan orang yang kononnya mempunyai talent tersebut.
Kita mahukan talent yang membina bukan talent
yang menghancurkan negara. Talent yang mempunyai semangat partriotisme yang
tinggi. Bukan talent yang merosakkan negara dan membocorkan rahsia negara. Saya
amat bimbang dengan trend pegawai kerajaan yang bekerja di bahagian
keselamatan, termasuk Universiti Pertahanan, kerana ramai juga orang seperti
sikitol dan mandaliar. Mereka ini ultra kiasu.
Sikitol dan mandaliar inilah yang telah
melakukan khianat dan membentuk negara Singapore. Mereka tipu pemimpin kita
dengan membuat perjanjian air yang tidak langsung munasabah. Atas sangka baik,
kita bersetuju. Sehingga kini, air yang dijual kepada Singapura adalah wang
Malaysia 0.03 sen setiap 1000 gelens (4500 Liter) sehingga tahun 2061.
Perjanjian yang amat tidak masuk akal. Bayangkan ketika pemisahan tahun 1965,
kita putuskan air, apakah Singapura wujud hari ini?
Berbanding kerajaan China menjual air kepada
air kepada negara bangsanya sendiri Hong Kong, suatu ketika dahulu pada harga
US$5.8 setiap 1000 gelen. Saya ringkaskan, Melayu jual kepada Cina air pada
kadar 0.03 sen setiap 1000 gelen. Manakala China menjual air kepada Cina pada
kadar US$5.8 setiap 1000 gelen. Siapa sebenar yang baik? Siapa sebenar yang
tertipu? Apakah bangunan mereka boleh berdiri megah dengan menggunakan air
masin? Sudahlah Kuan Yew, bertaubatlah kamu di akhir usia ini.
Kenapa Malaysia (Melayu) begitu bermurah
hati? Inilah soal hati Melayu. Hati mulia Melayu yang saya amat kenali setelah
lama berdamping dengan mereka. Hatinya terlalu baik sehingga orang lain
mengambil kesempatan. Yang paling saya bimbang, kebaikan hatinya nanti akan
menyebabkan negara ini tergadai.
Baharu ini, di bulan Ramadhan, saya
terserempak dengan bekas pegawai tinggi kerajaan sedang berjumpa dengan
sekumpulan peniaga Cina pada jam 1.00 pagi di sebuah restoran di ibu kota.
Dalam hati sudah dapat mengagak, apa lagi agendanya kalau bukan mahu menjadi
menjadi ‘pak pacak’. Maka akan dilantik menjadi pengerusi syarikat itu dan ini,
dengan elaun puluhan ribu ringgit sebulan, bagi tujuan mendapatkan tender atau
kontrak kerajaan.
Inilah dilemma orang Melayu. Apabila sudah
pencen, kerja tiada. Maka mereka akan mencari jalan pintas. Mereka tidak fikir
bagaimana membangunkan Melayu. Mereka hanya fikirkan perut. Ultra kiasu akan
menggunakan segala ruang dan peluang untuk memanipulasikan keadaan. Kita hanya
boleh berbangga menjadi pengerusi syarikat ini dan itu di bawah telunjuk
syarikat Cina. Bila dapat projek kerajaan bernilai jutaan itu, siap kaya?
Melayu menjadi sekaya mana? Apakah kita akan dihargai selepas itu? Inilah
pemikiran Kuan Yew.
Lihatlah Perjanjian air antara
Malaysia-Singapura, langsung tidak boleh diubah. Jika Malaysia bercadangkan
untuk menaikkannyaa mungkin keadaan lebih buruk akan terjadi. Apakah Singapura
atau Lee Kuan Yew pernah berterima kasih kepada kita? Masih ingatkah lagi
amanat isteri Kuan Yew sebelum meninggal beberapa tahun lalu? Saya harap umat
Islam baca artikel saya itu. Saya selaku orang Cina tidak pernah lupa, kerana
saya tahu hati budi Cina.
Apa sebenarnya yang Kuan Yew mahu? Beliau
tidak pernah berhenti bersuara supaya Malaysia menghapuskan hak istimewa orang
Melayu dalam keadaan usia emas beliau? Jawapannya, apabila hak ini dihapuskan
dalam perlembagaan, ketika itulah tidak mustahil, Singapura akan menawarkan
diri untuk masuk semula ke dalam Persekutuan Malaysia.
Apakah kita sudah lupa sejarah kemasukan
Singapura ke dalam Persekutuan Malaysia 1963 dan penyingkirannya pada tahun
1965? Ketika itu saya baharu lahir. Mungkin saya tidak dapat melihat apa yang
berlaku pada masa itu. Tetapi saya tidak buta sejarah. Saya kaji dan korek
sejarah untuk memahami maksud tersurat dan tersirat. Jawapannya, kerana
kemasukan dan pemisahan Singapura ada kepentingan. Nasib baik niat jahat mereka
tidak kesampaian. Jika tidak, Malaysia mungkin tidak seperti seadanya hari ini.
Inilah sejarah yang cuba dipadamkan. Subjek sejarah ini jugalah yang ditentang
oleh ultra kiasu agar tidak perlu diajar di peringkat sekolah. Pada mereka,
sejarah Malaysia telah diselewengkan.
Nasihat saya, Malaysia tidak bodoh lagi.
Kepada Kuan Yew, mulakanlah kerja-kerja untuk menawarkan air laut bagi kegunaan
penduduk di sana dan membersihkan air longkang untuk diminum. Talent-talent di
Malaysia sudah tidak boleh lagi dipermainkan dan diperbodohkan oleh
pengkhianat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan