Wajah Presiden Dong Zhong Yang Ditumbuk Suatu Ketika Dahulu |
Kongres Perdana Pendidikan Kebangsaan anjuran
Majlis Perundingan Melayu (MPM) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra
(PWTC) di sini hari ini dalam resolusinya memberi peringatan kepada kerajaan
agar berhenti daripada menjadi mangsa peras ugut pihak tertentu.
Ketua 1 Gabungan Persatuan Penulis Nasional
(Gapena), Prof. Datuk Dr. Abdul Latiff Abu Bakar ketika membentangkan resolusi
itu menegaskan, kerajaan juga perlu berhenti melayan tuntutan yang tidak
munasabah dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan serta perundangan
berkaitan.
Menurut beliau, kongres turut mendesak
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Kementerian Pendidikan supaya
bersikap tegas dengan mewujudkan sistem pendidikan tunggal di negara ini.
"Kerajaan tidak seharusnya meluluskan
penubuhan sekolah menengah jenis kebangsaan Cina dan mengiktiraf sekolah swasta
Cina yang tidak mengikut Kurikulum Pendidikan Kebangsaan serta menggunakan
bahasa Melayu sebagai pengantar utama dalam usaha mewujudkan jati diri dan
perpaduan kebangsaan.
"Tiada negara lain, contohnya Singapura,
Indonesia dan Thailand yang mempunyai sekolah vernakular," katanya yang
juga Pengarah Pra-Kongres dan Resolusi program berkenaan.
Tambah Abdul Latiff, kerajaan tidak boleh
membiarkan golongan tertentu bermain dengan 'bom jangka bersiri' yang
memporak-perandakan perpaduan nasional dan keutuhan Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, segala ketidakpatuhan yang
berlaku sejak sekian lama itu hendaklah diperbetulkan agar tiada kekeliruan
dalam pelaksanaan peruntukan perundangan dan dasar negara.
"Kita perlu tegas dan akur dalam
mempertahankan perundangan serta Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 152
dan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550)," ujarnya.
Dalam pada itu, Abdul Latiff memberitahu,
kongres berkenaan menyokong usaha kerajaan membina negara bangsa yang bersatu
padu dengan memperkasa sekolah kebangsaan dan sekolah menengah yang menggunakan
satu kurikulum serta menganjurkan peperiksaan dalam bahasa Melayu di samping
memberi pelajar-pelajar peluang mempelajari bahasa-bahasa asing.
"Kongres turut mendesak Kementerian
Pendidikan menjadikan bahasa Melayu sebagai pengantar utama di institusi
pengajian tinggi awam dan swasta manakala pemberian dana penyelidikan serta
syarat-syarat kenaikan pangkat perlu mengutamakan penyelidikan dan karya ilmiah
dalam bahasa Melayu," jelasnya.
Resolusi yang mengandungi 10 perkara itu
merupakan rumusan daripada usul-usul yang dibentangkan berhubung Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 dalam lima sidang selari yang
dianjurkan sempena kongres tersebut pada 21 Ogos lalu dan hari ini.
Selain Abdul Latiff, tokoh-tokoh yang menjadi
moderator sidang selari itu ialah bekas Naib Canselor Universiti Teknologi Mara
(UiTM), Tan Sri Dr. Ibrahim Abu Shah; bekas Naib Canselor Universiti Malaya
(UM), Prof. Datuk Dr. Hashim Yaacob; Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia
(DPIM), Tan Sri Muhammad Ali Hashim dan bekas Pengerusi Malaysia Airlines
System Bhd. (MAS), Tan Sri Abd. Aziz Abd. Rahman.
Sidang selari tersebut yang membincangkan
lima topik berbeza tentang dasar pendidikan negara dianggotai 77 pakar pelbagai
bidang termasuk Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Dr. Firdaus Abdullah; bekas
Ketua Polis Negara, Tun Mohammed Hanif Omar; Pengerusi Tetap Pergerakan Wanita
UMNO, Tan Sri Napsiah Omar; veteran UMNO, Tan Sri Sanusi Junid; bekas Panglima
Angkatan Tentera, Jeneral (Bersara) Tan Sri Ghazali Mohd. Seth dan dan bekas
Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad.
Kongres bertemakan Memartabatkan Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2015 itu dirasmikan oleh bekas Perdana
Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan turut dihadiri Setiausaha Agung MPM, Dr.
Hasan Mad; Pengerusi kongres, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Kachar serta Penolong
Ketua Pengarang 1 Kumpulan Utusan, Datuk Zaini Hassan.
Sementara itu, Hasan dalam sidang akhbar
selepas kongres tersebut berkata, resolusi tersebut akan dikemukakan kepada
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 29 Ogos ini.
"Kami berharap kerajaan khususnya
Kementerian Pendidikan mempertimbangkan resolusi itu dan melihatnya sebagai
suara rakyat yang tidak mahu kerajaan berkompromi dalam melaksanakan dasar
pendidikan negara," ujarnya.
Beliau turut menegaskan, kerajaan tidak perlu
melayan sebarang tuntutan daripada Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga
Pengurus Sekolah Cina (Dong Zong) yang dipercayai lebih menjaga kepentingan
individu-individu tertentu di dalam pertubuhan berkenaan.
"Dong Zong bersikap anti-nasional dengan
mempersoal niat baik kerajaan untuk meningkatkan keberkesanan pengajaran dan
pembelajaran Bahasa Melayu dalam semua sistem pendidikan Malaysia.
"Sepatutnya Dong Zong wajib mendidik
anak-anak Cina agar cinta dan taat setia kepada negara dengan menyokong satu
sistem pendidikan kebangsaan yang dapat memantapkan perpaduan dengan
memperkukuhkan jati diri kebangsaan yang berteraskan kepada Perlembagaan, Rukun
Negara, sejarah dan peradaban Malaysia," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan