Pimpinan dan ahli akar umbi Selangor perlu
menumpukan sepenuh perhatian untuk membangkitkan semula Umno dan mengelakkan
perpecahan dalam kalangan ahlinya. Penganalisis politik, Prof Datuk Dr Zainal
Kling berkata, sejarah lalu membuktikan bahawa kesilapan melibatkan
perselisihan faham antara pimpinan dan ketua akar umbi dalam Umno menyebabkan
parti itu kalah pada PRU13.
“Kemudian ada golongan dalam Umno yang
masing-masing hendak menjadi ‘hero’. Ada perpecahan pihak pimpinan di Selangor
pada masa itu (PRU13 lalu) dan pucuk pimpinan tak bersatu padu.
“Ketika itu, banyak sekali kumpulan yang jaga
stesen undi di Selangor tidak jalankan tugasnya,” katanya ketika diminta
mengulas mengenai langkah yang perlu dilakukan pucuk pimpinan dan ahli akar
umbi Umno Selangor untuk bangkit semula.
Zainal berkata, semua pimpinan dan ahli perlu
memberikan sokongan penuh kepada pemimpin sedia ada iaitu Datuk Seri Noh Omar
selaku Pengerusi Perhubungan Umno Selangor.
“Mereka tidak boleh berpecah antara satu sama
lain dan mesti mendengar pandangan pemimpin akar umbi kerana golongan ini lebih
dekat dengan pengundi. Kalau mereka (ketua akar umbi) diketepikan, pemimpin tak
dapat sokongan dan tidak tahu masalah rakyat,” katanya.
Menurutnya, semua ahli parti perlu membuat
kaji selidik berhubung prestasi buruk mereka pada PRU13 lalu.
“Pemimpin Umno kena bersikap amanah dan cari
punca kenapa pengundi Melayu, Cina dan India sokong parti lain. Mereka juga
mesti dapat balas tuduhan orang yang menipu dan mematahkan penipuan orang (yang
melemparkan tuduhan tidak berasas),” katanya.
Dalam pada itu, Zainal turut menyarankan
supaya penggunaan media sosial perlu diperkasakan untuk menambat hati pengundi
terutama golongan muda.
“Selangor ini negeri paling maju dan moden.
Jadi perlu perbanyakan penggunaan media sosial untuk menangkis serangan pihak
lawan dan tambat hati pengundi,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan