09 April 2014

Indeks Cadangan PM Dalam Maqasid Syariah Antarabangsa

KUALA LUMPUR 8 April – Datuk Seri Najib Tun Razak mahu Malaysia memainkan peranan ke arah penubuhan Indeks Maqasid Syariah Antarabangsa bagi mengukur komitmen sesebuah negara dalam melaksanakan syariat Islam.

Perdana Menteri berkata, indeks tersebut mampu menangkis dakwaan pihak tertentu mengenai komitmen Malaysia dalam soal melaksanakan dasar-dasar yang berlandaskan prinsip Islam sebenar.

“Saya merasa begitu musykil kalau ada pihak masih menuduh kita sebagai tidak cukup Islam, ada juga yang mempertikaikan dasar-dasar kita tidak berlandaskan kepada Islam,"

Alangkah baik kalau ada Indeks Maqasid Syariah Antarabangsa, di mana para ulama peringkat antarabangsa boleh mengukur komitmen setiap negara terhadap pelaksanaan syariat Islam berdasarkan kepada matlamat Maqasid Syariah,”

 katanya ketika berucap merasmikan Seminar Antarabangsa ‘Penghayatan Wasatiyyah Dalam Kerangka Maqasid Syariah’ di sini malam ini.

Yang turut hadir Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad, Pengerusi Institut Wasatiyyah Malaysia, Tan Sri Dr. Abdullah Md. Zin dan Pengarah Besar Felda, Datuk Faizoull Ghazali.

Najib berkata, beliau percaya jika perkara itu dapat direalisasikan, indeks syariah di Malaysia akan berada di tahap yang boleh dibanggakan.

Beliau berkata, pendekatan Wasatiyyah yang telah diamalkan di Malaysia sejak awal akan terus dipertahan berlandaskan lima prinsip Maqasi Syariah iaitu menjaga agama, nyawa, akal, maruah keturunan dan harta benda dan yakin ia akan memastikan Malaysia terus berada di tahap yang boleh dijadikan ikutan oleh negara Islam lain.

“Mudah-mudahan seminar ini boleh memikirkan langkah ke hadapan bagaimana pengukuran berdasarkan komitmen lima prinsip Maqasid Syariah itu boleh dilakukan bagi membolehkan setiap pelaksanaan dapat diukur pencapaiannya,” katanya.

Perdana Menteri berkata, dalam pada meletakkan komitmen yang tinggi terhadap melaksanakan prinsip wasatiyyah, kerajaan turut berhadapan dengan tuntutan daripada pihak tertentu atas nama keterbukaan dan liberalisme.

Najib berkata, ancaman keterlaluan atas nama keterbukaan, kononnya pada mereka adalah satu hak asasi yang mesti diberikan secara total sekali gus membolehkan mereka untuk berbuat apa sahaja atas nama kebebasan.

Beliau berkata, kerajaan sama sekali tidak akan menerima kefahaman sedemikian kerana ia jelas bertentangan dengan syariat Islam yang semestinya perlu ditolak oleh semua.

Oleh itu kalau ada pihak cuba mendefinisikan hak asasi dan mahu menggunapakai untuk setiap negara, kita mesti ada pendirian tersendiri bahawa hak asasi mestilah berlandaskan kepada syariah Islam dan ini merupakan pendirian kita yang jelas,” katanya.

Selain Malaysia, seminar dua hari anjuran IWM dengan kerjasama Felda itu menyaksikan 10 kertas kerja dalam pelbagai bidang akan dibentangkan melibatkan ilmuwan dari Jordan, Kuwait, Arab Saudi dan Qatar.

Pada majlis itu, Najib turut melancarkan empat buah buku mengenai konsep wasatiyyah yang diterbitkan oleh Institut Wasatiyyah Malaysia.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
\ /