18 Oktober 2013

Kalimah ‘Allah’, Mustafa Ali Tiba-Tiba Hilang Ingatan




Tiba-tiba sahaja Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali menjadi seorang yang pelupa apabila ditanya mengenai pendirian parti itu berhubung penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh orang bukan Islam.

“Saya sudah tidak ingat lagi setiap perkataan itu… baik awak (wartawan) rujuk semula kenyataan saya sebelum ini,” katanya kepada wartawan berkenaan di sini.


Beliau diminta mengulas mengenai pendirian pakatan pembangkang pimpinan tiga serangkai, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang membenarkan orang bukan Islam, iaitu Kristian menggunakan kalimah ‘Allah’.

Mustafa yang enggan mengulas lanjut hanya menyatakan, pendirian pembangkang tidak berbeza dengan pendirian yang dinyatakan Pas sebelum ini.

Kata-katanya itu memberi jawapan bahawa Pas juga kekal dengan pendiriannya membenarkan orang bukan Islam menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam sembahyang atau aktiviti rasmi keagamaan penganut itu.

Ini kerana, Presiden Pas, Abdul Hadi menegaskan bahawa penganut agama bukan Islam tidak harus disekat daripada menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam mengamalkan kepercayaan mereka, namun penggunaan tersebut tidak harus disalah guna atau disalah tafsir.

Beliau dilaporkan berkata, tiada peruntukan undang-undang tidak membenarkan kaum lain menggunakan kalimah ‘Allah’, tetapi kebebasan diberikan itu tidak harus disalahgunakan kerana Allah adalah satu-satunya tuhan yang layak disembah bagi umat Islam.

Keputusan Pas itu melengkapkan pendirian PR, apabila Penasihat PKR, Anwar turut menyatakan persetujuannya dengan keputusan yang dicapai oleh gabungan tiga parti pembangkang tersebut.

Bagaimanapun, PR menuding jari menyalahkan kerajaan UMNO dan Barisan Nasional (BN) kerana kononnya, menjadikan isu kalimah ‘Allah’ sebagai polemik untuk mengelirukan orang Islam sehingga mencetuskan ketegangan kaum.

Pendirian yang dianggap sebagai keputusan muktamad PR ini, melegakan pemimpin pembangkang Melayu beragama Islam kerana mereka tidak perlu bekerja kuat lagi menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU 14) untuk mendapatkan sokongan dan undi dari orang bukan Islam.

Keputusan yang dibuat mereka itu sudah lebih daripada mencukupi untuk berpeluk tubuh kerana yang pasti orang bukan Islam akan memberi sokongan kuat kepada PR disebabkan kalimah ‘Allah’.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
\ /