FIKIRKAN senario ini
- wakil kepada seorang calon Naib Ketua Pemuda UMNO membuat sidang akhbar
mendakwa calon mereka memenangi jawatan itu. Mereka menolak, keputusan
Jawatankuasa Pemilihan UMNO bahawa dua calon yang bertanding terikat kerana menurut
laporan ‘war room’ mereka, calon
pilihan mereka menang.
Dalam satu lagi
senario - seorang pemimpin Wanita UMNO 'mengamuk'
melalui WhatsApp kepada rakan-rakan mempertikaikan kekalahannya dalam perebutan
jawatan Exco Wanita.
Dan seorang lagi
pemimpin Wanita UMNO turut 'menyerbu' satu sidang akhbar untuk menyatakan
bantahannya kerana tewas dalam perebutan di peringkat bahagian. Mungkin kesemua
mereka ini mempunyai alasan tersendiri kenapa bertindak demikian tetapi apa
yang pasti mereka seolah-olah begitu takut untuk menerima kekalahan.
Sepatutnya, jika ada
perkara berbangkit ia diketengahkan melalui saluran yang betul dan bukannya
melakukan tindakan yang boleh menyebabkan imej UMNO terjejas. Kenapa perlu
membuat pelbagai andaian termasuklah merasakan maklumat war room mereka lebih
tepat daripada keputusan yang diperolehi oleh UMNO Pusat?
Bukankah dalam
Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu, banyak war room memberikan maklumat
tidak tepat sehingga UMNO ketika itu seolah-olah berada dalam situasi 'syok sendiri'? Kenapa pula ada calon
sanggup menuduh 'ada mainan' di
sebalik kekalahannya? Apakah dia tidak percaya kepada kebijaksanaan perwakilan
membuat keputusan sama ada di peringkat Pusat mahupun bahagian?
Oleh itu, tidak
payahlah mana-mana juga pemimpin atau calon yang kalah, hampir kalah atau
mungkin akan kalah melakukan tindakan yang dilihat mampu merosakkan imej parti.
Ini pemilihan dalam keluarga dan ia sepatutnya dilaksanakan secara berhemah.
Tidak salah untuk melakukan bantahan, tidak salah untuk menyatakan perasaan
tidak puas hati dan tidak salah untuk membangkitkan kemusykilan.
Tetapi biarlah ia
dilakukan melalui saluran yang betul dengan matlamat untuk memastikan imej UMNO
tidak tercemar.
Mereka yang masih
lagi tidak faham untuk belajar menerima kekalahan dalam pemilihan UMNO kali
ini, perlu memahami bahawa 'musuh-musuh
politik' parti itu sedang menanti. Tersilap langkah, apa yang berlaku dalam
UMNO akan dijadikan modal untuk pilihan raya.
Justeru adalah lebih
baik belajarlah menguruskan kekalahan dan bukannya hanya bijak mencari
kesalahan!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan