02 Oktober 2013

Ramai Masih Keliru Dengan Tataetika Pemilihan Umno #azeezrahim4MT




Pindaan terhadap perlembagaan parti bukan sahaja memberi dimensi baru kepada proses transformasi UMNO, tetapi tanpa disangka turut mengelirukan calon berikutan format baharu tersebut.

Ramai antara calon keliru sama ada mereka boleh memberi kenyataan kepada media atau tidak dan kenapa perlu ada peraturan melarang daripada berjumpa terus dengan perwakilan selagi tidak mendapat kebenaran ibu pejabat.


Meskipun Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO 2013, Tan Sri Tajol Rosli Ghazali telah menjelaskan bahawa calon boleh memperkenalkan diri di media konvensional dan sosial, kekeliruan itu masih wujud.

Bahkan, kekeliruan itu bukan hanya membabitkan calon muka baharu, tetapi 'pemain lama' yang menawarkan diri bertanding jawatan Ahli Majlis Tertinggi yang sepatutnya tahu selok-belok tataetika pun menghadapi masalah serupa.

Ini kerana antara syarat yang harus dipatuhi ketika membuat kenyataan akhbar bukan sahaja jangan memfitnah, mencela atau membuat tuduhan palsu tetapi calon tidak dibenar berkempen sehingga kelihatan 'menjual diri'.

Akibatnya, petugas media yang membuat liputan mengenai pemilihan UMNO kali ini menghadapi kesukaran untuk mendapatkan kenyataan daripada calon-calon yang bertanding khususnya untuk menjawab isu-isu tertentu.

Mereka sebaliknya mengelak untuk ditemubual petugas media dan kerap kali memberi alasan perlu merujuk kepada Jawatankuasa Pemilihan UMNO terlebih dahulu, kerana bimbang akan dituduh berkempen secara terbuka.

Situasi tersebut melanda calon Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim. Beliau yang dikenali mesra media dan mudah didekati untuk mendapat ulasan mengenai sebarang isu keberatan untuk berbuat demikian.

Ketika ditemui Utusan Malaysia di Institut Latihan Memperkasa UMNO (ILMU) di Janda Baik bagi mengulas isu pemilihan kali ini, beliau menolak dengan sopan kerana ingin mendapat kepastian daripada Tajol Rosli terlebih dahulu.

Sehubungan itu, Jawatankuasa Pemilihan UMNO dan lembaga disiplin parti perlu memberi penjelasan lebih terperinci apa sebenarnya yang boleh dan apa pula larangan yang mesti dipatuhi calon agar tiada sesiapa teraniaya.

Sekadar memberi jawapan bahawa semua ahli UMNO sudah cukup maklum mengenai tataetika parti tidak memadai kerana pemilihan kali ini melibatkan sejumlah 33,682 calon di peringkat bahagian dan 158 di peringkat pusat.

Penjelasan berterusan itu penting bagi mengelakkan terjadinya 'rumah siap pahat berbunyi' meskipun hasrat dan objektif transformasi yang dilakukan cukup murni iaitu memastikan UMNO kekal relevan.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
\ /