Lama menunggu Syamsul membuka mulut mengenai
pelbagai isu yang membabitkan namanya. Antaranya, dia dikatakan merajuk kerana
isu kebocoran filem KL Gangster 2, tak hadir ke majlis pratonton filem itu
termasuk isu bengang bila filemnya itu dikritik.
Terbaharu, paras bengang Syamsul juga
memuncak terhadap pelakon Sharifah Amani (Nani) apabila dikatakan mempertikai
klasifikasi filem yang diperolehi oleh KL Gangster 2 di laman sosial Twitter. Isu
timbul kerana filem lakonan Nani berjudul Psiko Pencuri Hati diklasifikasikan
di bawah kelas PG18 sementara KL Gangster 2 pula PG13.
Tak puas hati, Syamsul bertindak membidas
Nani juga di laman yang sama sehingga orang menganggap berlakunya perang besar
antara kedua-dua anak seni itu. Pancaindera mendapatkan Syamsul untuk
menjelaskan situasi sebenar. Ikuti luahan hati anak Yusof Haslam ini.
Apa cerita
bergaduh dengan Nani di Twitter ini?
Saya tahu apa yang dia cuba sampaikan. Dia
tak puas hati mengenai klasifikasi filem. Yang jadi isu bagi saya adalah cara
dia. Kenapa dia perlu bawa unsur negatif yang boleh dibaca semua orang? Kita
manusia, pasti ada benda yang tak puas hati dengan apa saja perkara. Tapi kalau
nak tegur pun, tegurlah dengan cara yang elok. Bagi saya, cara dia kasar.
Syamsul
nampak bengang sangat bila Nani bersuara. Apakah Syamsul tak boleh terima
sebarang teguran?
Kalau orang betul kenal saya, mereka akan
tahu saya ini bukan seorang yang lantang bersuara. Kalau ya pun, bertempat.
Tapi bila ada orang yang cuba mencuit saya dengan benda-benda macam ini, ada
masa saya terpaksa jadi lantang. Saya boleh terima teguran. Tapi biarlah
beretika. Budi bahasa mana?
Boleh
komen tentang isu klasifikasi yang Nani bangkitkan itu?
Apa yang saya baca seolah-olah dia tuju pada
saya saja. Macam saya ini mempengaruhi banyak pihak untuk dapatkan klasifikasi
itu. Ramai yang tak tahu, KL Gangster 2 awalnya adalah PG18. Tapi selepas
kejadian kebocoran, orang dah tengok, benda itu jadi tak ada beza. Kami pihak
Skop Production buat rayuan di Lembaga Penapisan Filem (LPF) dan kes kami
dianggap istimewa hingga akhirnya diklasifikasikan sebagai PG13. Itu semua
kerana nak kurangkan kerugian yang kami tanggung gara-gara kebocoran itu. Kalau
Nani tak puas hati tentang isu klasifikasi, pergilah buat rayuan. Itulah
gunanya LPF.
Komen
Syamsul bila orang melihat Syamsul ini pantang dicuit, mula nak naik angin?
Saya senang saja, apa-apa pun, cakap biar
terang. Jangan main cuit-cuit. Jangan kurang ajar. Kalau kita tak suka orang
kurang ajar dengan kita maka kita pun kenalah berhemah ketika berbicara. Macam
Nani, ya, saya tahu dia seorang yang lantang. Tapi sesiapa pun boleh naik hantu
kalau ada yang kita tak puas hati. Tapi pastikan cara yang betul. Jangan cepat
hakimi orang.
Syamsul
seorang yang sensitif?
Saya biasa saja. Sebelum-sebelum ini pun ada
isu pasal saya, tengok dari mana datangnya cerita itu? Saya tak kacau orang,
orang yang kacau saya. Tapi nak buat macam mana, sabar sajalah. Saya ini
manusia, bukan malaikat. Saya pun ada perasaan. Ada masa bila terlalu kerap
orang memperkotak-katikkan kita maka kita perlu bersuara.
Nani ada
meminta maaf dengan Syamsul secara peribadi?
Ada. Dia ada mohon maaf. Cuma saya tak
membalas teks itu. Saya harap dia faham. Apa pun, sebenarnya, saya anggap isu
ini dah tamat.
Bagaimana
pula dengan isu Syamsul bengang dengan pengkritik yang mengkritik filem KL
Gangster 2 yang mendakwa Syamsul seolah-olah menghalalkanwatak antagonis dalam
filem itu?
Saya tak pernah ketinggalan membaca ulasan
setiap pengulas filem di akhbar. Bukan untuk baca ulasan filem saya saja tetapi
juga filem-filem lain. Saya menegur cara pengkritik yang dimaksudkan itu sebab
saya tengok dia ini kerap memandang dari sudut yang negatif. Bila jadi macam
itu maka apa pun akan jadi negatif. Itu semua bergantung pada pemikiran kita.
Mungkin
juga pengkritik itu berfikiran kritis, dia juga ada persepsi tersendiri ketika
mengulas. Kenapa nak bengang sangat?
Sebagai pengkarya filem, saya buat filem
memang untuk ditonton, dibicarakan dan dikritik. Tapi kritik harus ada etika.
Saya mewakili semua pengkarya tanah air memandang serius hal ini. Ada kritikan
yang baik dan buruk. Apa yang saya buat itu jelas ada mesej baik di sebaliknya.
Lagipun, dah nama pun cerita. Pengkritik itu kata saya halalkan watak hitam.
Apa ini? Itu satu tuduhan yang berat. Kami pembikin filem ada garis panduan.
Bukan main hentam saja buat filem.
Agaknya
sampai bila Syamsul nak menyorok, tak mahu berjumpa dengan media?
Sebenarnya saya bukan merajuk cuma kecewa.
Macam isu bocor itu, bayangkan, belum pun masuk gelanggang, saya dah kena pukul
dari belakang. Macam itulah umpamanya. Saya juga kecewa dengan pihak berkuasa
dan orang dalam industri. Saya ada... cuma dengan media saja saya tak bertemu
muka.
Syamsul
sekarang pula bagaimana?
Saya dah okey. Dalam orang kata saya bertapa
itu, Alhamdulillah... saya dapat idea hasilkan skrip baru. Jangan risau. Saya
tak akan berhenti mengarah. Ramai yang menyokong saya untuk terus berjuang.
Takkanlah saya nak berhenti. Apa pun saya nak tekankan, orang dalam industri
kena bersatu hapuskan cetak rompak. Ini bukan soal Syamsul, filem KL Gangster,
Skop Production saja. Ini untuk industri perfileman negara. Kita kena berjuang
perangi isu ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan