Sebelum ini, industri hiburan tempatan kecoh dengan cerita Shahir (AF8)
atau nama sebenar Ahmad Shahir Zawani, 25, 'hilang' sehingga peminatnya
tertanya-tanya ke mana anak teruna seorang ini?
Selepas Shahir bergelar juara Akademi Fantasia kelapan, macam-macam pula
masalah yang timbul. Dahulu, Shahir hilang atas alasan masalah kesihatan.
Selepas itu, dia mengalami kemalangan sehingga patah tangan pula.
Spekulasi liar itu lebih parah sehingga dikatakan pihak Astro pun tidak
tahu ke mana hilangnya Shahir sejak setahun lalu.
Secara kebetulan, kumpulan media telah terserempak dengannya baru-baru
ini pada acara Futsal Ceria Mangga, 5 Oktober lalu. Apa lagi mereka pun
mengambil peluang untuk menerjahnya bagi mendapatkan jawapan sama ada
kehilangannya itu ada kena mengena dengan kes putus cinta dia dengan seorang
pelakon janda yang sedang meletup?
Kehadirannya pada hari itu mendapat tumpuan peminat dan media. Mana
taknya, hampir setahun dia menghilangkan diri. Shahir dikejar banyak media yang
mahu mengetahui perkembangan terbarunya, manakala peminat juga tidak melepaskan
peluang untuk bergambar bersamanya.
Istimewa buat peminat Shahir, kehilangannya itu bukan berpunca dengan
kes putus cinta. Sebaliknya dia ingin berehat untuk mencari idea yang lebih
segar dalam proses penghasilan karya terbaru yang bakal dipasarkan tak lama
lagi.
"Kali ini saya benar-benar sudah kembali," kata Shahir apabila
ditanya mengenai kehilangannya daripada bidang seni selama ini.
Dia juga sudah kembali berbincang dengan pihak Astro mengenai projek
terbaharu. Shahir kini sedang sibuk dengan persiapan untuk merakam lagu baru
dan secara tak langsung, dia bakal melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti
seni setelah muncul kembali.
Oleh kerana dia sudah sedar banyak temujanji media atau program
melibatkan dirinya yang dirancang dibatalkan pada saat-saat akhir, dia berjanji
perkara itu tidak akan berulang lagi kerana janji itu akan dipegang sampai
bila-bila.
"Saya tak mahu hilang lagi kerana saya tahu ramai peminat rindu
dengan kemunculan saya," jelasnya.
Namun dalam penyepian itu, Shahir sebenarnya aktif bermain futsal
bersama rakan-rakan artis. Dia semakin aktif dalam permainan futsal sejak
bersama Kelab Malaysian Artist Sport Club (MASC).
"Menyertai pertandingan berkonsepkan kesukanan seperti ini juga
merupakan salah satu usaha selebriti tempatan untuk mempromosikan gaya hidup
sihat kepada golongan remaja.
"Selain daripada itu, MASC juga menyokong kempen United Against
Crime (Bersatu Memerangi Jenayah) yang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia
(PDRM)," ujarnya.
Shahir berharap agar penganjuran aktiviti berkaitan sukan tidak akan
terhenti di sini sahaja, sebaliknya akan berterusan dari semasa ke semasa.
"Saya gembira diberi peluang bersama rakan artis untuk turut sama
dalam pertandingan ini. Selain MASC, rakan dari Seniman dan artis Suria Records
juga hadir memeriahkan lagi pertandingan ini," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan