17 Oktober 2013

David Teo Jadi Punca Aeril-Wawa Nikah Sembunyi




Jika tiada pendedahan oleh media, bermakna kisah perkahwinan dua pelakon kontroversi Aeril Zafrel dan Wawa Zainal akan terus menjadi rahsia. Rahsia itu mungkin akan tersimpan hingga 2015, tahun di mana Wawa mengakhiri kontraknya sebagai artis di Metrowealth International Group (MIG) milik David Teo.

Tetapi pada Jumaat lalu, Aeril atau nama sebenarnya Suhairil Suhari, 25, mengakui dia dan Wawa sebenarnya sudah bernikah secara sembunyi pada 25 Februari pada tahun lepas.


Tetapi pernikahaan pada tahun lalu itu tidak didaftarkan dengan mana-mana majlis agama Islam menyebabkan pasangan itu tidak dapat mendaftarkan anak mereka. Sehubungan itu mereka bernikah sekali lagi pada 4 Februari lalu bagi melayakkan anak pertama pasangan itu yang diberi nama Ahmad Fakharuddin Attar 'dibinkan' kepada Aeril.

Kita lupakan soal pernikahan sebanyak dua kali ini yang pada Hits hanya menimbulkan lebih banyak persoalan. Apa yang menjadi tanda tanya ialah begitu besarkah pengaruh penerbit, David Teo kepada Wawa sehingga memaksa berkahwin secara rahsia?

Sebagai pasangan suami-isteri dan selepas itu menjadi ibu bapa, tidak Aeril dan Wawa memikirkan kesan negatif terhadap anak mereka? Menjawab soalan itu Aeril memberitahu, dia hanya menghormati keputusan Wawa yang mahukan pernikahan ini dirahsiakan.

Sambil mendakwa mereka berada dalam keadaan 'darurat', bagi Aeril keputusan yang dibuat bersama isterinya itu dilihat satu tindakan yang bijak di pandangan matanya.

"Ini semua kerana hormati keputusan Wawa kerana takut dia dimarahi pihak pengurusannya. Seperti yang kita tahu pihak pengurusan Wawa tidak membenarkan Wawa bercinta, apatah lagi berkahwin.

"Bagi saya ini keadaan 'darurat'. Sebab itu kami kena rahsiakan. Dan tidak timbul masalah untuk menafikan hubungan kami sebelum ini kepada pihak wartawan," katanya.

Menjelaskan keadaan pernikahan pertama dan keduanya dengan Wawa, Aeril mendakwa kedua-dua pernikahan itu sah dari sudut agama.

"Pernikahan kali pertama itu dibuat bagi menghalalkan hubungan kami. Dan seperti pasangan suami isteri yang lain, memang kami merancang untuk ada anak.

"Apabila mendapat tahu Wawa mengandung, kami tahu pernikahan kami perlu disahkan untuk memastikan anak itu dibinkan saya. Sebab itu saya ambil keputusan untuk ke kursus perkahwinan dan meneruskan pernikahan kali kedua yang berlangsung di Masjid Jumuriah Taman Dato Harun dan dinikahkan sendiri oleh Imam masjid tersebut," katanya.

Menganggap dirinya berada di medan peperangan, kata Aeril situasi itu membolehkan dia mengaburi pihak musuh dengan penipuan. Menjelaskan pernikahan pertama sama tarafnya dengan perkahwinan kedua, baginya tiada kesalahan buat dirinya menikahi wanita yang sama.

"Salahkan saya menikahi wanita yang sama? Kami berada dalam keadaan darurat. Kamu semua tidak berada dalam situasi kami, jadi tidak faham," katanya, merujuk kepada pihak media yang hadir dalam sidang akhbar berkenaan.

Menjelaskan kedudukan anaknya yang kini berusia tujuh minggu, menurut Aeril tiada apa yang lebih menyedihkan selain melihat anaknya itu dituduh dengan pelbagai kata-kata cemuhan.

"Saya nyatakan anak saya itu sah. Tetapi adalah menyedihkan untuk mengetahui penyebaran berita ini tanpa melalui saya dahulu.

"Sebenarnya memang kami sudah merancang untuk mengadakan sidang akhbar mengenai hal ini, apabila Wawa tamat kontrak dengan pihak pengurusannya," katanya.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
\ /