Abad ke-21 adalah abad orang muda sekarang. Dalam tempoh terdekat,
Malaysia akan berada di tangan atau di bahu kepemimpinan orang muda. Sewaktu
menjelang fajar hari pertama 2020, anak-anak yang lahir pada hari pertama tahun
2000 akan menyambut hari jadi ke-20. Mereka yang lahir 20 tahun sebelum tahun
2000 akan berumur 40 tahun. Pada usia matang itu, ada kalangan mereka sudah
berada di barisan kepemimpinan dan pentadbiran negara.
Golongan Pemuda dan Puteri UMNO sekarang tentu mengalami pahit maung
berada dan bertarung di gelanggang politik. Mereka yang berada di luar politik
atau dalam parti politik yang lain sekalipun masing-masing ikut merasai
gelombang kehidupan berpolitik.
Apakah senario politik dekad pertama abad ke-21, antaranya perpecahan
umat Islam-Melayu dan perkauman akan terbawa sama dua tiga dekad lagi? Apakah
masalah dan isu sikap generasi akan mengubah senario masa hadapan?
Selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12, tahun 2008 majoriti generasi muda
tidak memihak kepada kerajaan atau menyokong parti kerajaan. Mereka berada di
seberang sana. Parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) dan UMNO kena
memandang serius akan ketandusan pemimpin muda. Mereka merupakan pelapis dan
penerus arus perjuangan.
Soalnya bagaimanakah bakat mereka boleh dipupuk sehingga subur sejak
peringkat awal lagi. Jika barisan pemimpin muda dikenal pasti daripada awal,
maka bakat dan wibawa mereka tidak akan tersia-sia.
Kini orang Melayu tergugat dari semua arah. Secara diam atau nyata ada
sahaja ancaman puak-puak tertentu. Para pembesar pula masih tidak menemui
formula khusus untuk menanganinya.
Pada saya, Pemuda dan Puteri UMNO sebagai sayap parti hendaklah segera
bangkit berjuang seperti para pejuang dahulu. Pemuda sebagai tiang negara dan
pemudi harapan bangsa teladankanlah integriti, jauhi jenayah terutamanya
rasuah, amalkan ketelusan dan memperagakan keterampilan.
Generasi muda yang berada di luar gelanggang politik, terutama mereka
yang berkhidmat di sektor awam, lakukan gerak langkah yang sama, jangan jadi
'Pak Turut'. Lengkapkan diri dengan tahap intelektualisme (yakni ilmu dan
pengetahuan) dan rasionalisme (yakni kebijaksanaan, hemah dan hikmah).
Kemenangan dan kejayaan akan dapat dicapai melalui kerja kuat dan usaha tanpa kenal
penat lelah.
Gerakan politik Pemuda dan Puteri dengan bimbingan pimpinan induk parti,
pedoman pergerakan Wanita dan veteran politik mesti memahami pelbagai wawasan,
gagasan, dasar, konsep misalnya tentang kenegaraan dan falsafah negara bangsa.
Biarlah tertanam subur di jiwa untuk mempertahankan kesucian Islam, jati diri
bangsa dan kedaulatan ibu pertiwi.
Hayati aspirasi tonggak-tonggak Perlembagaan dengan kefahaman yang
mendalam, misalnya dalam mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu dan Yang
di-Pertuan Agong, Islam sebagai agama rasmi, bahasa rasmi dan keadilan.
Kesemuanya itu adalah hak-hak negara dan jangan dianggap sebagai semata-mata
hak Melayu.
Konsep sebuah negara kebangsaan mesti dihayati semua.
Sepatutnya tempoh dua dekad pertama abad ini dijadikan misi politik
bersama para pemimpin Melayu dan Islam untuk menyatukan perpecahan sesama
sendiri. Hasrat merebut kuasa politik dan jawatan tertinggi dalam mana-mana
parti sekalipun perlu berlaku dalam konteks adab dan adat.
Mungkin ada orang akan mengatakan mana mungkin hal sedemikian boleh
terjadi? Ya kalau sebagai Muslim semua orang berpegang kepada tali Allah dan
mengelakkan terjadinya pecah belah, maka di situ perpaduan terserlah.
Apabila politik perkauman, ekstremisme dan cauvinistik nyata kelihatan
dalam PRU-13 pada 5 Mei 2013, agaknya makin banyak disepakati strategi dan
taktik orang Cina mengatur langkah untuk menguasai Dewan Rakyat. PRU-14 akan
datang menjadi matlamat susulan mereka, menolak calon-calon orang Cina dari
parti kerajaan.
PRU-13 semacam menunjukkan orang Melayu, Cina dan keturunan India
pembangkang menidakkan gagasan 1Malaysia dan transformasi kerajaan. Jadi apakah
1Malaysia mendapat sokongan orang bukan Melayu? Atau apakah pimpinan politik
pembangkang mahukan perpaduan, keharmonian dan kebangsaan Malaysia?
Pada zaman Allahyarham Tun Razak, kita menyaksikan bagaimana banyak
peluang diberikan kepada kepemimpinan muda. Tun Dr. Mahathir, Musa Hitam,
Tengku Razaleigh antara yang muncul sebagai pemimpin muda yang banyak membawa
kekuatan kepada parti dan kerajaan.
Kini, dengan adanya sistem pemilihan kaedah baharu dan transformasi
parti, UMNO sebenarnya sudah menyediakan ruang yang sama bagi orang muda
menyalurkan khidmat bakti. Parti dan negara boleh terselamat sekiranya
penghayatan kepemimpinan zaman Tun Razak diperkembangkan.
Seorang Ketua Pemuda atau Ketua Puteri patut melihat potensi ini, selain
membina diri sendiri. Cari seberapa banyak ilmu politik dan cara berpolitik,
bandingkan antara politik Melayu dengan kaum yang lain di Malaysia dan lihatlah
senario politik global. Proses dan persediaan bagi PRU Ke-14 tahun 2018 bermula
dari sekarang.
Orang muda mungkin agresif dalam semua perkara. Dunia makin luas terbuka
dan mereka tidak tahu setiap perkara tentang Melayu dan perjuangannya. Mereka
kurang pengetahuan tentang kenegaraan.
Politik mereka boleh maju dengan adanya nasihat dan tunjuk ajar para
pemimpin terdahulu. Jadi golongan veteran politik jangan sekali-kali
ditinggalkan jika kita benar-benar mahu membawa kesejahteraan untuk semua.
Pengalaman dan teguran mereka terdahulu itu bak mutiara gemerlapan yang sangat
tinggi nilai mutunya yang tidak terdapat dalam mana-mana sumber buku rujukan.
Kadang kala seseorang pejuang boleh bertukar menjadi petualang. Mungkin
apabila diri mula dibelit rasa tamak haloba, rakus dan dendam belitan iblis,
seseorang itu mudah lupa akan agama, bangsa dan tanah airnya. Pengkhianatan
sedikit demi sedikit bercambah dalam diri sehingga membesar menjadi pohon yang
tidak menaungi kepentingan agama, bangsa dan negara lagi.
Ada juga yang terjebak dengan nafsu 'buat harta atau kaut kekayaan'.
Kerap pula ada kelicikan usaha mendekati pihak berkuasa parti, rela menjadi
kuncu-kuncu untuk faedah diri. Maka sebab itu Melayu kehilangan panglima dan
wira-wiranya yang hebat.
Risiko pasti ada tetapi politik tidak boleh meminggirkan mereka bahkan
perlu disediakan saluran bagi mereka bergerak, tunjangan dana dan moral.
Selalunya tidak semua kepimpinan dapat membaca antara yang menyokong dengan
menentang bahkan seseorang individu intelek yang kerajaan berikan kemudahan
suatu waktu dahulu boleh muncul sebagai penentang yang sangat keras.
Kalau UMNO sudah pun mempunyai Akademi Latihan sendiri, maka program dan
kegiatannya mesti diadakan berterusan, bukan sekadar 'ambil ada' atau
melepaskan batuk di tangga.
Sungguhpun tahun 2013 tidak sama dengan tahun 1946, tetapi semangat UMNO
dan perjuangan Melayu untuk menyelamatkan bangsa dan mempertahankan sebuah
negara merdeka menjadi suatu kewajipan dan pegangan yang berkekalan.
Orang Melayu tidak harus merelakan watan Malaysia ini dicerobohi dari
dalam atau luar. Jangan biarkan Malaysia menjadi sebuah tanah jajahan lagi
sekali dan Melayu pula pupus di dunia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan