UMNO
disaran mewujudkan majlis ulama UMNO yang peranannya setaraf dengan sayap parti
itu atau menyediakan satu platform khas bagi golongan agamawan untuk
membolehkan mereka bersuara dalam membantu perjuangan parti terbesar orang
Melayu itu.
Pengerusi
Badan Bertindak Agama Minda Pondok Kelantan, Mohd. Syamsul Mohd. Yusoff berpendapat,
penubuhan majlis itu bagi memastikan perjuangan UMNO dalam menegakkan Islam
berada di landasan betul.
Beliau
berkata, ia juga dapat menangkis segala tuduhan dan tohmahan liar yang
dilemparkan parti pembangkang khususnya Pas bahawa UMNO sentiasa meminggirkan
golongan agama.
"Saya
cukup yakin dengan penubuhan majlis ulama ini atau satu platform khas untuk
golongan agamawan ini akan mewujudkan keseimbangan dan meyakinkan rakyat untuk
kembali memilih UMNO serta mengekalkan parti itu pada pilihan raya umum akan
datang," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau
diminta mengulas kenyataan Pertubuhan Ilmuwan Malaysia yang menyokong penuh
cadangan agar UMNO diberi lebih ruang serta peluang kepada golongan agama bagi
bersama-sama parti itu demi masa depan Islam dan Melayu.
Penasikat
Eksekutif pertubuhan itu, Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, cadangan
itu wajar diperhalusi dan dipertimbangkan kerana dilihat sejajar dengan agenda
transformasi parti yang sedang diusahakan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun
Razak.
Sebelum
ini, Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir mencadangkan agar UMNO memberi
ruang kepada golongan agama untuk bersama-sama menerajui parti itu.
Mengulas
lanjut, Mohd. Syamsul yang menyokong kenyataan Fathul Bari itu berkata,
penglibatan lebih serius golongan agama dalam UMNO turut diyakini dapat
mengangkat imej parti tersebut dalam kalangan rakyat yang selama ini hanya
melihat Pas yang menjuarai isu-isu agama.
"Sedangkan
UMNO sendiri sudah memperjuangkan agama sebagaimana termaktub dalam
perlembagaannya, cuma orang agama dilihat tidak diberi tempat sewajarnya dalam
parti," katanya.
Sementara
itu, aktivis Ikatan Cendekiawan Islam Kelantan (ICIK), Mohd. Zawawi Awang berpendapat,
ketika ini golongan agama terutama ustaz-ustaz muda amat kurang diberi tempat
dalam parti sama ada di peringkat bahagian mahupun negeri.
Justeru
katanya, cadangan supaya golongan agama diberi peranan lebih besar dalam parti
UMNO perlu dipertimbangkan kerana ia sebenarnya merupakan proses 'ulang
kembali' peranan ulama dalam UMNO yang telah wujud sebelum ini tetapi
'diketepikan' sehingga membawa kepada penubuhan Pas.
"Saya
menyokong golongan agama diberi ruang supaya transformasi UMNO benar-benar
menguntungkan orang Melayu dan Islam. Selain itu, untuk meremajakan UMNO, maka
parti kena sedia platform khas kepada golongan agama ini tanpa melibatkan
pemilihan atau pertandingan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan