Seorang penjaga dusun
tergamak menjadikan anak sulungnya sebagai pemuas nafsu sejak mangsa berusia 10
tahun dan berlarutan sehingga mangsa kini berusia 16 tahun, dalam kejadian di
Bandar Al-Muktafi Billah Shah (AMBS), Dungun.
Menurut sumber,
perbuatan jijik suspek berusia 38 tahun terhadap mangsa terbongkar selepas
dipaksa ibunya menceritakan kejadian sebenar apabila dimaklumkan perubahan
sikap mangsa yang cuba melarikan diri serta terlalu takut setiap kali
berhadapan suspek.
Perubahan ketara anak
sulung daripada tiga beradik itu mula disedari ibu saudaranya selepas mangsa
dirogol dalam kejadian terbaru 12 September lalu, kira-kira jam 9.30 malam di
sebuah kebun di Bandar AMBS Dungun sebelum memaklumkan kepada ibunya.
“Mangsa yang belajar
di sebuah sekolah asrama akan pulang ke rumah neneknya setiap dua minggu bagi
menghabiskan cuti hujung minggu, sementara ibunya menetap di Wakaf Tapai,
Marang kerana bekerja di sana.
“Semasa itulah,
suspek ambil kesempatan mengajak mangsa bermalam di kebun tempat dia bekerja
tidak jauh dari rumah nenek sebelum melakukan perbuatan terkutuk tanpa kerelaan
mangsa,” katanya, semalam.
Sumber berkata,
disebabkan terlalu takut, mangsa hanya membiarkan suspek yang turut memiliki
dua isteri itu melakukan perbuatan jijik itu terhadap dirinya buat sekian
kalinya.
“Sebaik melakukan
perbuatan terkutuk itu, suspek tanpa rasa bersalah menghantar mangsa pulang ke
rumah ibu yang juga nenek mangsa pada keesokan harinya,” katanya.
Bagaimanapun, mangsa
yang trauma mula menunjukkan perubahan sikap dengan sering menjauhkan diri,
serta dilihat sentiasa berada dalam ketakutan setiap kali berdepan dengan suspek
dan disedari ibu saudaranya sebelum memaklumkan kepada ibunya.
“Sejurus menerima
berita itu, ibu mangsa berusia 30-an segera ke sekolah untuk berjumpa mangsa
dan selepas puas dipujuk, barulah mangsa berani membuka mulut menceritakan
kejadian sebenar.
“Mangsa turut
mendakwa menjadi pemuas nafsu bapanya sejak berusia 10 tahun lagi, dan hanya
berdiam diri kerana bimbang akan diapa-apakan bapanya yang sering mengugut akan
memukul dan bertindak lebih kasar jika dia menceritakan kepada ibunya,”
katanya.
Terkejut dengan
pendedahan mangsa, ibu mangsa yang juga isteri pertama suspek membuat laporan
polis pada 23 September lalu sebelum suspek ditahan di rumah isteri keduanya di
Wakaf Tapai, Marang, kira-kira jam 11.10 pagi, kelmarin.
Pendaftar Kanan
Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, Rosila Nik membenarkan suspek direman selama
tujuh hari untuk disiasat mengikut Seksyen 376 B Kanun Keseksaan kerana
melakukan sumbang mahram.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan