Pergolakan di Timur Tengah sudah diterima
sebagai berita rutin sejak berkurun lamanya.
Saban hari ada saja pertelingkahan antara puak dan mazhab walaupun
secara dasarnya masyarakat di sana merupakan penganut agama Islam. Dari apa yang diceritakan oleh rakyat di
sana, negara mereka tidak pernah membezakan mazhab atau puak sebelum
persengketaan tercetus. Pertelingkahan
antara mazhab dan puak hanya berbangkit beberapa tahun kebelakangan seolah-olah
ada yang sengaja mencetuskannya.
Malang sekali, sikap orang-orang Arab itu
begitu mudah terpengaruh dan terbawa-bawa dengan emosi. Oleh itu, musuh mudah ‘bermain’ dengan minda
mereka, memanipulasi dan menghasut dengan agenda-agenda tertentu bagi
membangkitkan kemarahan mereka.
Berikutan dengan itu, pemikiran mereka yang
tertutup serta capaian maklumat yang terhad, menyebabkan mereka tidak dapat
berfikir panjang serta pantas memilih keganasan untuk melepaskan perasaan dan
mencapai matlamat. Maka tidak hairanlah
jika negara mereka sering bergolak dan sukar untuk berdamai.
Mesir, suatu ketika dahulu merupakan pusat
ilmu bagi dunia Islam. Di situlah
terletaknya Universiti Islam tersohor di dunia iaitu Al-Azhar di mana
terkumpulnya Ulama-ulama hebat. Namun,
entah kenapa setelah sekian lama, Mesir masih belum mampu menyaingi dunia barat
dari segi ilmu. Al-Azhar tidak mampu membantu melahirkan pemimpin Islam yang
cukup ramai, yang berpandangan jauh dan berkredibiliti, bagi mengubah pemikiran
masyarakat Arab.
Jika sebelum ini rakyat Mesir berbangga
dengan kuasa rakyat menukar kerajaan, maka hari ini terbukti sudah bahawa
tindakan anarki tidak pernah menghasilkan sesuatu yang baik. AlQuran telah menyatakannya secara jelas,
tetapi rakyat Mesir, termasuk Ulama Al-Azharnya telah gagal memahami dan
mempraktikkan ajaran AlQuran itu.
Akibatnya, Mesir hari ini sekali lagi tenggelam dalam lautan darah yang
jauh lebih dalam dari pemberontakan Dataran Tahrir di permulaan Arab Spring.
Lautan darah di Mesir mungkin tidak seluas
dan sedalam Syria dan Palestin namun, ia seharusnya mengejutkan umat Islam dari
tidur. Sudah sampai masanya kita semua
berhenti sejenak dan berfikir bagi mencari di manakah salah kita sebagai satu
ummah?
Bukankah umat Islam hari ini ‘jauh lebih
Islam’ dari umat Islam terdahulu?
Bukankah umat Islam hari ini lebih ‘terserlah keIslamannya’ berbanding
dahulu? Bukankah terdapat beratus kali
ganda jumlah tahfiz, ustaz dan ulama pada hari ini berbanding dahulu? Jika dahulu, imam hanya membaca surah-surah
lazim dalam solat tetapi kini, surah-surahnya cukup panjang. Itu belum lagi dikira dengan tazkirah,
ceramah dan kuliah agama yang giat dijalankan di mana-mana saja. Jika dahulu kita hanya menghafal doa-doa
asas, tetapi kini kita melakukan semuanya dengan doa dari masuk tidur hinggalah
ke masuk ke bilik air.
Tetapi, kenapakah ketika pemerintahan Shah
Iran yang isterinya tidak bertudung, Iran lebih aman maju dan makmur berbanding
selepas itu? Kenapakah umat Islam di
Malaysia lebih jujur, ikhlas, sopan dan beradab di zaman dahulu berbanding hari
ini? Sedangkan dahulu, wanita Islam di
Malaysia tidak bertudung tetapi hari ini bertudung, berpurdah siap berstokin
dan bersarung tangan?
Justeru, kenapakah Dunia Islam semakin tenat
jika benar kita semua ‘semakin Islam’?
Apakah ia salah orang Kristian? Atau salah orang Yahudi? Atau salah wanita Islam yang tidak
bertudung? Atau salah lelaki Islam yang
gemar berjudi dan minum arak? Atau salah
pemimpin yang rasuah atau pembangkang yang khianat?
Apakah benar Acheh dilanda tsunami kerana
‘tidak cukup Islam’? Apakah benar umat
Islam Bosnia disembelih sebagai balasan kerana ‘tidak mengamalkan cara hidup
Islam’?
Jika ditanya para Ulama, jawapannya pastilah
berbunyi, ‘kita harus kembali kepada AlQuran’.
Namun, seperti apa yang berlaku di Mesir, para Ulama sendiri telah
membelakangkan AlQuran kerana ingin menjatuhkan kerajaan.
Malaysia pernah dijulang sebagai satu-satunya
negara Islam tulen di zaman Rasulullah SAW di mana semua golongan termasuk
bukan Islam mendapat keadilan dan kebebasan secukupnya. Malaysia tidak ekstrem dan tidak juga
liberal, sebaliknya menepati ajaran Islam sebenar iaitu ‘bersederhana’. Tiada paksaan dalam Islam di Malaysia sama
ada ke atas bukan Islam atau ke atas umat Islam sendiri. Wanita Islam di Malaysia tidak dikongkong
atau dilayan seperti kelas dua atau hamba, yang mana membolehkan negara ini
maju dan makmur tidak seperti negara-negara Islam lain yang konservatif.
Malaysia pernah menjadi satu-satunya harapan
dunia Islam bagi membela nasib mereka.
Hari ini, harapan dunia Islam kepada Malaysia masih lagi tinggi.
Justeru, jika kita masih tertanya-tanya di
manakah silap kita sebagai ummah, maka tanyalah juga apa yang Malaysia lakukan
yang tidak silap, sehingga mampu menjadikan kita sebagai negara Islam
contoh. Jawapannya ada di sekeliling
kita.
Kemakmuran, kemajuan, keamanan dan kestabilan
yang kita nikmati hari ini adalah bukti bahawa kita tidak silap seperti
negara-negara Arab, tetapi telah melakukan sesuatu yang tepat.
Sejak kita Merdeka, kerajaan telah meletakkan
ilmu sebagai matlamat utama sejajar dengan ajaran AlQuran. Ilmu boleh diperolehi secara percuma. Kerajaan tidak pernah meminggirkan atau
mendiskriminasikan wanita atau mana-mana kaum dalam soal ilmu – sejajar dengan
ajaran AlQuran juga. Prinsip Malaysia
ialah menolak sebarang bentuk ektremisme termasuk dalam amalan agama
Islam. Rakyat Malaysia juga terkenal
dengan lemah lembut dan adab sopan sekali gus menentang sebarang bentuk
keganasan – sejajar dengan ajaran AlQuran juga.
Oleh itu, jika kita mengambil sedikit masa
untuk berfikir maka kita akan dapati bahawa empat perkara ini iaitu ‘ilmu’,
‘kedudukan wanita’ ‘kesederhanaan’ dan ‘adab’ merupakan asas kejayaan Malaysia.
Dan jika kita mengambil sedikit masa untuk
mengkaji, maka kita akan dapati bahawa empat perkara ini, tidak pernah dipegang
oleh negara-negara Arab yang sentiasa bergolak itu.
Malang sekali, terdapat usaha dari beberapa
pihak di Malaysia untuk menjadikan negara-negara Arab yang sentiasa bergolak
itu sebagai model pula. Kesilapan
orang-orang Arab dianggap benar oleh segelintir orang-orang kita. Sedangkan jika kita mengikut jejak langkah
mereka, sudah tentu kita juga akan terhumban dalam nasib yang sama.
Hari ini, kita wajar bersyukur kerana
Malaysia adalah satu-satunya Negara Islam yang ‘masih waras’ walaupun diasak
dari berbagai sudut oleh oleh golongan ekstremis, liberal dan sesat
(Syiah).
Malangnya, walaupun Malaysia cukup kukuh
sebagai sebuah Negara Islam, namun Malaysia masih belum mampu menghulurkan
bantuan yang signifikan bagi memulihkan keadaan di Timur Tengah. Ini bermakna, Malaysia juga masih terlalu
jauh dalam mencapai matlamat menjadi ‘Khalifah’ di dunia kerana kita tidak
berdaya menyaingi musuh Islam dari segi ketinggian ilmu.
Justeru, Malaysia hanya mampu berdoa kepada
rakyat Palestin, Syria dan Mesir tanpa mampu berbuat apa-apa.
Kita hanya mampu berdoa agar suatu hari
nanti, agar umat Islam tidak lagi beretorik mengenai kembali kepada AlQuran,
tetapi benar-benar mengotakannya. Kita
berdoa agar umat Islam mampu meletakkan ilmu dari langit, bumi dan lautan di
tempat tertinggi sepertimana ajaran AlQuran.
Kita berdoa agar suatu hari nanti Universiti AlAzhar atau mana-mana
Universiti di Malaysia akan berjaya melahirkan para pencipta, pemikir dan
saintis yang mampu menyaingi dunia barat dan mengembalikan zaman kegemilangan
Islam. Kita berdoa agar ada saintis
Islam yang membuktikan bahawa bulan itu pernah terbelah dua dan bukan hanya
merujuk kepada kajian saintis bukan Islam.
Kita tidak tahu sampai bila Malaysia mampu
bertahan sebagai Negara Islam sebenar, tetapi tidak keterlaluan dikatakan
bahawa sekiranya Malaysia turut jatuh, maka hancurlah dunia Islam sepenuhnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan