10 September 2013

Kongsi Gelap Selindung Di Sebalik Majlis Rasmi Dikesan




Polis mengesan ada kumpulan kongsi gelap berselindung di sebalik majlis rasmi masyarakat dengan menaja majlis terbabit bagi mengaburi mata masyarakat mengenai kegiatan haram mereka.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, polis menyedari trend ini dan mereka (kongsi gelap) menyasarkan majlis masyarakat, terutama yang dihadiri orang kenamaan.


"Mereka akan menaja majlis tersebut untuk menunjukkan penglibatan mereka dengan masyarakat.

"Tujuan mereka tidak lain ialah untuk menunjukkan mereka pun ada membuat kebaikan. Mereka akan mengambil gambar bersama orang kenamaan dan masyarakat sebagai bukti menunjukkan mereka menjalankan kegiatan yang sah," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata, trend seperti itu adalah untuk menyusup masuk ke dalam sesuatu komuniti bagi mengalih perhatian orang ramai berhubung aktiviti mereka yang sebenar.

Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan ada pemimpin kanan parti politik telah menghadiri sebuah majlis yang dianjurkan "Kelab Sukan dan Rekreasi Kajang" yang didakwa mempunyai kaitan dengan kumpulan kongsi gelap geng '36'.

Ekoran itu satu laporan polis dibuat berikutan penyebaran sepucuk surat di Internet yang mendakwa tiga pemimpin sebuah parti politik itu turut hadir dalam majlis yang dihadiri 6,000 peserta di Seri Kembangan pada 3 Disember lepas.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
\ /