Jawatan Naib Presiden
yang bakal diisi oleh tiga penyandang 19 Oktober depan adalah tiket laluan awal
untuk parti, kerajaan dan rakyat mengukur potensi dan kewibawaan kepimpinan
kanannya sebelum melangkah lebih jauh
Apabila Tun Abdul
Razak Hussein mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tunku Abdul
Rahman, beliau memilih Tun Dr. Ismail Abdul Rahman yang ketika itu berada dalam
kedudukan nombor tiga di barisan Naib Presiden, sebagai timbalannya. Apabila
Dr. Ismail meninggal dunia, Tun Razak memilih Tun Hussein, juga Naib Presiden
ketiga.
Tun Razak tidak
pernah menduduki jawatan Naib Presiden. Begitu juga Almarhum Tunku Abdul Rahman
yang terus menjadi Presiden UMNO kedua, menggantikan Datuk Onn Jaafar pada 1951
dengan meletakkan jawatan sebagai Timbalan Pendakwa Raya ketika itu. Tun Razak
pula terus ke jawatan Timbalan Presiden (1951-1971) selepas memenanginya dengan
menewaskan dua calon lain.
Pada era Tun Dr.
Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO, dua Naib Presiden
yang paling kanan dan dua Naib Presiden nombor dua menjadi pilihannya untuk
menyandang jawatan nombor dua. Ia meskipun sejarah sebelum itu membuktikan Naib
Presiden nombor tiga termasuk Dr. Mahathir sendiri adalah mereka yang sentiasa
bernasib baik.
Naib Presiden paling
kanan yang dipilih Dr. Mahathir sebagai orang nombor dua ialah Tun Musa Hitam
dan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tetapi kedua-duanya tersadai di situ. Apabila Tun
Ghafar Baba dipilih sebagai Timbalan Perdana Menteri, beliau adalah Naib
Presiden nombor dua selepas Tengku Razaleigh Hamzah dan nombor tiga ketika itu
ialah Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, bekas Menteri Besar Terengganu.
Dr. Mahathir, juga
merupakan Naib Presiden nombor tiga apabila dilantik oleh Tun Hussein sebagai
Timbalan Perdana Menteri pada 5 Mac 1976 berikutan kematian mengejut Razak.
Pada hal ketika itu, Naib Presiden UMNO paling kanan ialah Ghafar, diikuti
Tengku Razaleigh Hamzah.
Pada 8 Januari 1999
pula, Dr Mahathir memilih Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, juga nombor dua
selepas Najib, sebagai Timbalan Perdana Menteri. Apabila tiba giliran Abdullah
pula, beliau memilih Najib, Naib Presiden paling kanan sebagai timbalannya.
Pada 2009 itulah buat
julung kali dalam sejarah UMNO, perwakilan menentukan sendiri siapa yang mereka
mahu untuk menyandang jawatan nombor dua dalam parti. Ini bukan lagi secara
tradisi dalam sejarah 63 tahun kewujudannya, apabila Presiden memilih
timbalannya dalam kalangan tiga Naib Presiden tanpa mengira sama ada Naib
Presiden paling kanan, kedua atau yang ketiga.
Pada ketika itu,
Muhyiddin dari kerusi Naib Presiden menang menewaskan Datuk Seri Mohd. Ali
Rustam.
Jawatan Timbalan
Perdana Menteri mempunyai sejarah tersendiri dan sepanjang kewujudan jawatan
itu, ia sudah disandang oleh sembilan pemimpin iaitu Tun Razak, Dr. Ismail, Tun
Hussein, Dr Mahathir, Musa, Ghafar, Anwar, Abdullah dan Najib.
Namun, untuk rekod,
antara Naib Presiden yang pernah menjadi Timbalan Presiden ialah Dr. Ismail,
Tun Hussein, Dr. Mahathir, Musa Hitam, Ghafar, Anwar, Abdullah, Najib dan
Muhyiddin. Antara mereka, cuma Tun Hussein, Dr. Mahathir, Abdullah dan Najib
berjaya ke puncak dalam parti dan seterusnya menyandang jawatan Perdana
Menteri.
Dr. Ismail yang
dipilih Tun Razak sebagai timbalannya apabila dilantik sebagai Perdana Menteri
kedua pada September 1970, bagaimanapun tidak sempat naik ke puncak kerana
meninggal dunia disebabkan sakit jantung.
Laluan untuk
Naib-naib Presiden sebelum ke puncak kuasa, penuh berliku.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan