Oleh : Dr Ismail Ibrahim
Saya bersama empat
orang kawan kelulusan Kolej Islam Malaya (KIK) melanjutkan pelajaran ke
Universiti al-Azhar dalam tahun 1962, iaitu merupakan penerima biasiswa pertama
Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu. Kami kelulusan Sijil Tertinggi Kolej Islam
Malaya pada masa itu telah diiktiraf oleh al-Azhar sebagai pemegang Ijazah
Pertamanya, oleh itu kami diterima untuk meneruskan pengajian di dalam program
Pengajian Siswazah bagi mendapatkan ijazah Sarjana Lengkap (MA).
Kami berlima,
Allahyarham Tan Sri Abdul Hamid Othman, Ustaz Ismail Arifin dan Dr. Kasim
Salleh, saya dan Ustaz Ahmad Awang, telah berjaya mendapatkan ijazah Sarjana
dari al-Azhar, satu kebanggaan bagi pelajar Tanah Melayu dan kelulusan Kolej
Islam Malaya.
Maka kini nampaknya
al-Azhar itu sendiri telah datang ke negara kita ini, sebagai kampus
antarabangsanya yang pertama dan julung-julung kali didirikan di luar Mesir.
Hal ini tentulah amat membanggakan, terutamanya al-Azhar adalah merupakan
sebuah institusi pengajian yang telah berusia lebih dari seribu tahun dan telah
membuktikan kemampuannya melahirkan jutaan graduan dari seluruh pelosok dunia.
Tanah Melayu sendiri
banyak menerima graduan al-Azhar yang pulang dengan penuh kewibawaan dan telah
membangunkan pendidikan Islam dan ilmu agama yang progresif, juga pejuang
kemerdekaan dan kemodenan, termasuklah pengaruh aliran pembaharuan agama yang
diwarisi dari Syeikh Jamaluddin Al-Afghani dan Syeikh Muhammad Abdul.
Maka dari sudut ini
kita amatlah mengharapkan bahawa kehadiran al-Azhar ke negara kita akan berjaya
membawa satu aliran pendidikan dan pengajaran agama yang lebih maju dan berjaya
lagi dalam mendaulatkan Islam sebagai agama universal dan global.
Walau bagaimanapun
harapan kita amatlah tinggi juga agar pengajian yang dibawakan oleh al-Azhar di
negara kita ini akan juga berkembang seiring dengan pendidikan Islam yang telah
lama berkembang di negara kita mulai dari pendidikan rendah sehingga ke
peringkat tinggi, yang telah mencapai tahap sejagatnya yang agak mantap dengan
kehadiran beberapa buah institusi pengajian tinggi Islam moden di sini.
Pendidikan ilmu wahyu
yang kita warisi dari sistem pengajian al-Azhar telah kita kembangkan di negara
ini dengan kesepaduan ilmu peradaban dan tamadunnya yang berasaskan ilmu akliah
manusia, yang telah mencorakkan pendidikan Islam moden pada masa kini dengan
kesarjanaan agama dan profesional manusia dalam individu seorang Muslim itu.
Konsep kesepaduan
ilmu wahyu dan ilmu akli manusia ini telah lama dilaksanakan di negara kita,
iaitu sampai ke kemuncaknya dengan penubuhan Universiti Islam Antarabangsa di
Malaysia pada tahun 1982-83 lagi, sebagai salah satu hasil dari resolusi
Kongres Pendidikan Islam Antarabangsa yang diadakan di Mekah dalam tahun 1977.
Ekoran itu, lahirlah
beberapa buah institut pengajian tinggi lainnya di negara kita yang membawa
konsep ilmu dan pendidikan Islam yang hampir sama seperti Universiti Sains
Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin dan sebagainya.
Oleh itu, adalah
diharapkan juga bahawa kesepaduan ilmu dan konsep pendidikan Islam yang telah
didahului oleh Malaysia dalam sistem pendidikan agama ini hendaklah diberikan
perhatian oleh al-Azhar kampus Malaysia, agar ia berjalan selari dengan
cita-cita dan objektif pendidikan Islam di negara ini.
Umat dan manusia
global pada masa kini amat memerlukan pemahaman dan pengetahuan yang mantap
dalam ilmu wahyu dan ilmu peradaban atau tamadun Islam itu sendiri tanpa
terpisah-pisah seperti aliran pendidikan Islam tradisional. Ilmu Wahyu yang
menekankan tentang bidang ritual, ibadat dan pendidikan agama dalam kerangka
kefahaman umat Islam secara tradisi itu haruslah dilengkapkan dalam
perhubungannya yang kuat dengan ilmu yang melonjakkan tamadun umat manusia ke peringkat
tinggi untuk mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat.
Malaysia telah
menjadi pusat pembangunan ilmu peradaban Islam dalam bidang sains dan
teknologi, kewangan dan perbankan, makanan dan industri halal, serta kelahiran
modal insan yang amat komited kepada nilai dan peradaban Islam sebagai pemimpin
dan pemikir Islam yang unggul, kerana pendidikan Islam juga haruslah mampu
melahirkan para pemimpin yang berkualiti dan pemikir yang jauh pandangannya.
Malah Malaysia telah
berjaya menjadi model pembangunan masyarakat manusia yang aman damai dalam
kepelbagaian kaum serta agama, budaya dan bahasa, iaitu sebagai satu hasil dari
pengaruh Islam yang dibawa oleh para sarjana Islam puluhan tahun dulu dari
Mesir, Mekah dan negara-negara Islam lainnya, yang juga diwarisi dari para
sarjana dan ulamak Islam nusantara, dari Jawa, Aceh, Patani dan Tanah Melayu
sendiri. Inilah sebenarnya peradaban Islam yang dibangunkan oleh orang Melayu
dari seluruh Nusantara, di mana terdapatnya warisan ilmu Islam di tangan umat
Melayu itu sendiri.
Islam dalam kualiti
dan kefahamannya yang tinggi disertai dengan peradaban dan nilai akhlaknya
menurut al-Quran dan al- Sunnah sebenarnya telah diwarisi dan diperkembangkan
dengan pesatnya oleh Raja dan rakyat Melayu di Nusantara ini, iaitu mengikut
acuan budaya, bahasa dan adat istiadat Melayu itu sendiri, yang masanya amat
sesuai untuk kita perkenalkan kepada dunia umumnya pada masa kini.
Maka kini, kehadiran
al-Azhar adalah merupakan satu kekuatan dari sebuah institusi pengajian tinggi
yang unggul dalam bidang ilmu Islam, dan kekuatannya itu haruslah diperteguhkan
lagi dengan sistem pendidikan Islam ala Malaysia yang menjadi tunjang kekuatan
umat dan tamadun Islam di dunia ini.
Kekuatan institusi
tradisi itu haruslah diseimbangkan, malah disepadukan, dengan kekuatan
pendidikan dan kebudayaan Melayu Nusantara, yang telah pun terkenal dengan
empayar Melakanya, peranan Kesultanannya dalam Syariah dan kanunnya, dan
keunggulan Perlembagaan negara sekarang yang telah memberikan kedudukan yang
tinggi kepada Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan