Oleh : Salleh Buang
Rakyat biasa negara
ini mesti celik undang-undang jika mereka mahu terus bersuara mempertahankan
hak mereka andainya hak itu dicabuli atau digugat oleh mana-mana pihak. Pemimpin
rakyat pula, terutama dalam kalangan Ahli Parlimen (Dewan Rakyat atau Dewan
Negara), mesti arif undang-undang jika mereka mahu terus dihormati dan
disanjungi rakyat biasa.
Kalau Ahli Parlimen
jahil undang-undang, terutama dalam hal perkara yang asasi, mereka tak layak
terus menduduki dewan yang mulia itu. Baru-baru ini ada Ahli Parlimen dari
sebuah parti pembangkang (yang jelas tidak senang dengan keputusan Mahkamah
Rayuan membebaskan dua perayu dalam kes pembunuhan Altantuya) mendesak agar ini
dibicarakan semula.
Saya rasa ramai warga
negara ini sudah pun tahu tentang prinsip “double
jeopardy". Barangkali Ahli Parlimen tersebut terlupa atau terlepas
pandang mengenainya. Hendaknya dia tidak jahil langsung. Secara mudah prinsip
penting ini bermakna seorang itu tidak boleh dibicarakan kali kedua bagi
kesalahan yang sama setelah ia dibebas
dan dilepaskan (dipanggil autrefois acquit) atau disabit dan dijatuhkan hukuman (dipanggil autrefois convict)
oleh mahkamah di penghujung satu perbicaraan yang sah.
Prinsip penting double jeopardy telah sejak awal lagi
termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan kita. Perkara 7 Fasal (2) menyatakan
“Seseorang yang telah dibebaskan daripada sesuatu kesalahan atau disabitkan
atas sesuatu kesalahan tidak boleh dibicarakan semula kerana kesalahan yang
sama…."
Perkara 7 Perlembagaan
terletak dalam Bahagian II, iaitu mengenai “Kebebasan
Asasi". Dengan lain perkataan prinsip double jeopardy ini adalah satu perlindungan yang penting sekali
bagi setiap warga negara ini di bawah undang-undang tertinggi negara. Apabila
seorang itu telah dituduh melakukan suatu kesalahan dan telah dibicarakan
secara sah di hadapan mahkamah, dan akhirnya dia telah disabitkan dan dihukum
atau telah dibebas dan dilepaskan, dia tidak boleh dibicarakan sekali lagi bagi
kesalahan yang sama. Jika ada kesalahan lain, dia masih boleh dibicarakan.
Walau bagaimanapun,
perlindungan ini ada had dan batasannya. Perkara 7 Fasal (2) yang dipetik di
atas tadi seterusnya menyatakan “… kecuali jika sabitan atau pembebasan itu
telah dibatalkan dan perbicaraan semula diperintahkan oleh suatu mahkamah yang
lebih atas daripada mahkamah yang telah membebaskan atau mensabitkannya
itu".
Katalah misalnya
seorang itu telah dibicarakan oleh Hakim bicara di Mahkamah Tinggi dan akhirnya
telah disabitkan kesalahannya lalu dihukum. Terkilan dengan keputusan itu,
orang itu pun merayu ke Mahkamah Rayuan. Katalah Mahkamah Rayuan berpuas hati,
setelah menyemak rekod prosiding yang dikendalikan oleh Hakim bicara di
Mahkamah Tinggi dan hujah peguam bagi kedua-dua pihak, bahawa prosiding di
Mahkamah Tinggi itu banyak kecacatannya yang tidak boleh dimaafkan lagi.
Dalam situasi
sedemikian itu, Mahkamah Rayuan boleh mengisytiharkan satu mistrial telah
berlaku dan membatalkan prosiding itu, lalu memerintahkan satu perbicaraan baru
diadakan. Situasi begini dibenarkan oleh Perkara 7 Fasal (2), dan prinsip
double jeopardy tidak terpakai.
Dalam kes Altantuya
ini, Mahkamah Rayuan tidak berbuat demikian. Ia memutuskan sabitan Hakim bicara
di Mahkamah Tinggi pada 9 April 2009 lalu itu “tidak selamat" disebabkan
ada kesilapan, lalu memberi manfaat keraguan (benefit of the doubt) kepada
perayu. Itu saja.
Ini bukan kali
pertama mahkamah kita memberi manfaat keraguan (benefit of the doubt) kepada
perayu. Di masa lampau, Mahkamah Persekutuan kita telah berbuat demikian dalam
satu kes melibatkan Anwar Ibrahim. Kesimpulannya, dalam kes Altantuya ini,
tanpa satu mahkamah “yang lebih
atas" membatalkan prosiding Hakim bicara, kedua-dua perayu (Sirul
Azhar dan Azilah Hadri) yang kini telah dibebas dan dilepaskan oleh Mahkamah
Rayuan tidak boleh dibicarakan semula. Prinsip double jeopardy (larangan
perbicaraan berulang) ini adalah hak mereka di bawah Perlembagaan.
Apa yang boleh
dilakukan ialah Mahkamah Persekutuan terus mendengar rayuan pasukan pendakwa
andainya rayuan diteruskan. Sementara itu, semua pihak perlu ingat bahawa
disebabkan kes ini masih lagi dalam proses rayuan ke peringkat terakhir (dari
Mahkamah Rayuan ke Mahkamah Persekutuan), kes ini masih lagi bertaraf sub
judice dan kita perlu berhati-berhati membuat sebarang komen agar kita tidak
melakukan penghinaan mahkamah (contempt of court).
Sehubungan itu, saya
terkejut membaca komen N Surendran, ahli Lawyers for Liberty (LFL) dan naib
presiden PKR dalam ruang siber (sila lihat “So, who killed Altantuya?" di
http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2013/08/23/so-who-killed-
altantuya/).
Bukan hanya setakat
menghina keputusan Mahkamah Rayuan itu sebagai satu keaiban negara (a national embarrassment), ahli
politik pembangkang muda ini juga menyatakan “We expected this from the
beginning since it was a set-up to hide the truth and protect the guilty."
Tidakkah ini satu
tuduhan yang keterlaluan?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan