Mana-mana pemimpin UMNO bahagian
yang sudah lama memegang jawatan serta tidak lagi produktif diminta supaya
berundur secara sukarela bagi memberi laluan kepada muka-muka baharu menerajui
parti. Menurut Setiausaha Veteran UMNO
Malaysia, Mustapha Yaakub, tindakan itu wajar selaras dengan usaha
mentransformasi UMNO sebagai parti tunggak kepada Barisan Nasional (BN) untuk
mendapat keyakinan rakyat.
Sebaliknya kata beliau, tindakan
sesetengah pemimpin yang mengekalkan jawatan dan memberi pelbagai alasan hanya
akan membantut proses pendewasaan UMNO dan menjadikan parti itu sebuah parti
yang tidak progresif.
"Transformasi ini amat
sesuai dilakukan sekarang di saat pemilihan kepimpinan di semua peringkat UMNO
yang sedang berjalan dan akan diadakan di peringkat bahagian tidak lama lagi.
"Kita minta pemimpin
terbabit dengan sukarela mengundur diri kerana ini dapat mengelak berlakunya
pertandingan di peringkat Bahagian, sekali gus dapat menguatkan persediaan
parti untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti," katanya dalam
kenyataan di sini hari ini.
Mustapha juga berharap pemimpin
lain yang terlalu lama memimpin bahagian dapat mencontohi tindakan Ketua UMNO
Bahagian Muar, Datuk Mohd. Ismail Mohd. Shah yang sanggup berundur bagi memberi
laluan kepada orang baharu yang lebih muda.
"Ada ketua bahagian memberi
alasan kononnya tiada pemimpin pelapis dan tidak ada yang layak untuk
menggantikan tempat mereka.
"Alasan ini hanyalah helah
untuk mengekalkan jawatan sedangkan sudah ada ramai pemimpin muda yang
mempunyai kelayakan dan pengalaman dihasilkan oleh 'kilang' Pemuda yang
bersedia untuk mengambil alih kepimpinan bahagian," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan