Semua ahli UMNO
ditegah sama sekali menggunakan saluran media demi menjatuhkan reputasi pesaing
mereka yang bakal bertanding dalam pemilihan parti tidak lama lagi. Pengerusi Lembaga
Disiplin UMNO, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail berkata,
perbuatan itu jelas bertentangan dengan Perkara 5.3 Tataetika Ahli UMNO sekali
gus boleh dikenakan tindakan di bawah Fasal 20.9 Perlembagaan parti jika
didapati bersalah oleh Tribunal Lembaga Disiplin.
"Ramai ahli UMNO
yang ingin bertanding di peringkat cawangan, bahagian dan Majlis Tertinggi
telah memulakan kempen mereka secara tidak sihat selain membuat pengumuman
melalui media dalam menyerang peribadi pesaing mereka bagi merebut jawatan yang
sama.
"Tindakan
ahli-ahli UMNO yang membelakangkan peraturan-peraturan pemilihan demi
kepentingan peribadi adalah amat dikesali kerana ini menyebabkan persaingan
tidak sihat dan menimbulkan persepsi negatif pada pandangan ahli-ahli di
peringkat akar umbi," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu,
beliau berkata, peranan pemantau dalam lembaga berkenaan akan diambil kira
dalam memastikan elemen politik wang dapat dibanteras selaras dengan pindaan
Perlembagaan parti yang dibuat tahun 2009. Katanya, gejala tersebut yang
dikesan telah menular dalam parti boleh menghancurkan organisasi sekiranya
tidak dibendung.
"Lembaga
Disiplin akan bertindak tegas terhadap laporan-laporan yang mempunyai merit dan
bukti kukuh yang menunjukkan terdapatnya perlanggaran terhadap mana-mana
peraturan-peraturan pemilihan dalam pemilihan UMNO tahun ini.
"Semua ahli UMNO
yang ingin bertanding dalam mana-mana jawatan dinasihatkan agar dapat memahami
dan mematuhi peraturan supaya pemilihan kali ini dapat dijalankan dalam suasana
harmoni dan mampu mengekalkan semangat persaudaraan yang kukuh," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan