Ramai yang merasa
lega apabila kerajaan mengumumkan bahawa penjimatan RM3.3 bilion menerusi
pengurangan subsidi bahan api akan digunakan semula untuk kepentingan
rakyat. Justeru, ramai yang
ternanti-nanti bagaimanakah RM3.3 billion tersebut akan dimanfaatkan.
Apa yang telah
diketahui ialah kerajaan bakal meningkatkan jumlah BR1M kepada golongan
berpendapatan rendah. Tetapi jumlahnya tidak lagi diumumkan. Oleh itu, adalah dicadangkan agar kerajaan
meneliti secara mendalam dengan mengambil-kira pandangan dan nasihat
pihak-pihak yang berpengalaman dan pakar sebelum membuat apa-apa keputusan
mengenai RM3.3 billion ini. Ini kerana kita tidak mahu kerajaan sekali lagi
dikritik kerana membuat keputusan sebelum mengkaji terlebih dahulu kesan ke
atas semua pihak serta alternatif lain sepertimana yang berlaku dalam isu
pengurangan subsidi minyak ini.
Beberapa pihak telah
membayangkan yang BR1M akan ditingkatkan sehingga RM1000 hingga RM1500. Namun,
umum tahu bahawa pemberian tunai sebegini tidak akan membawa manfaat untuk
jangka masa panjang. Sehubungan dengan itu, inilah dicadangkan agar BR1M
ditingkatkan semaksima RM300 sahaja. Adalah dikhuatiri, pemberian tunai yang
semakin meningkat sedikit demi sedikit mampu membawa risiko di mana rakyat
sudah terbiasa dan sentiasa mengharapkan kenaikan di masa depan.
Apa yang lebih
penting ialah kerajaan memanfaatkan penjimatan tersebut untuk jangka panjang
iaitu seperti projek-projek infrastruktur, pendidikan, dan juga pembangunan
ekonomi bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana secara lebih
menyeluruh. Seperti yang kita sedia maklum, golongan yang paling teruk terjejas
dengan kenaikan harga minyak adalah golongan berpendapatan sederhana di bandar.
Memandangkan isu
utama yang timbul dari kenaikan harga minyak ialah ‘pengangkutan’, maka adalah lebih sesuai jika kerajaan memberi
penekanan yang lebih dalam menambahbaikkan pengangkutan awam di bandar. Pada
masa ini, pengangkutan awam di Malaysia kebanyakkannya hanya digunakan oleh
mereka-mereka yang benar-benar tidak punya pilihan iaitu mereka yang tiada kenderaan.
Manakala, yang
mempunyai kenderaan tidak sanggup menggunakannya kerana ia begitu sukar untuk
didapati sama ada di kawasan pedalaman mahupun di bandar-bandar besar. Perkhidmatan
bas masih tidak meluas dan tidak sampai ke seluruh pelusuk jalan dan lorong di
kawasan perumahan selain ia juga tidak mungkin dapat melalui semua
stesen-stesen komuter atau LRT. Justeru, ramai yang terpaksa menukar bas atau
stesen untuk ke tempat tertentu sedangkan pengangkutan awam antara
tempat-tempat tersebut pula tersangat terhad.
Dengan keadaan
lalulintas yang sesak, ramai yang terpaksa menghabiskan berjam-jam antara satu
pengangkutan kepada pengangkutan lain untuk menuju ke destinasi. Itu belum lagi
mengambilkira masa menunggu bas atau teksi yang jarang-jarang sekali. Lebih
teruk apabila terdapat di kalangan pemandu-pemandu teksi yang gemar memilih
destinasi dan kadangkala enggan menggunakan meter yang mana menyebabkan ramai
yang merasa serik ditipu.
Melainkan jumlah bas
di tambah dengan perjalanan lebih kerap dan lebih meluas, maka rakyat Malaysia
akan terus memilih untuk menggunakan kenderaan sendiri walaupun kosnya semakin
hari semakin meningkat. Sudah tentu keadaan ini tidak baik untuk negara kerana
ia turut menyumbang kepada kesesakan lalu lintas dan juga pencemaran udara.
Kesimpulannya,
matlamat utama yang harus dipegang oleh kerajaan dalam memanfaatkan penjimatan
dari pengurangan subsidi minyak ialah dengan meningkatkan perkhidmatan
pengangkutan awam. Sudah sampai masanya kerajaan menumpukan kepada usaha untuk
menjadikan pengangkutan awam sebagai pilihan pertama rakyat Malaysia demi
kebaikan semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan