29 JAN: Politik minta maaf nampaknya terus jadi strategi Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli.
Terbaru, beliau memohon maaf kepada rakyat Malaysia, terutama pengundi di Kajang kerana langkah yang diambil parti itu mengakibatkan wang rakyat terpaksa digunakan bagi membiayai Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang di saat sedang berdepan masalah ekonomi akibat peningkatan kos sra hidup.
Rafizi Ramli…permohonan maaf beliau juga seolah-oleh lebih kepada strategi mahu raih simpati bukannya benar-benar mahu dihukum.
“Tidak ada alasan untuk membazirkan wang rakyat dan untuk itu saya memohon maaf dan parti bersedia untuk dihukum oleh pengundi di Kajang,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu yang macam mahu tunjuk PKR rasa bersalah sedangkan semua itu rancangan mereka.
Ini boleh dipanggil kenyataan ‘telunjuk lurus kelingking berkait’.
Sambil mengakui tidak ada penjelasan yang dapat meredakan kemarahan rakyat terhadap percaturan politik PKR itu, Rafizi meminta masa dan ruang untuk mewajarkannya.
Rafizi mengaku beliau yang bertanggungjawab menyusun langkah politik PKR itu.
Katanya, ia adalah satu strategi radikal untuk PKR serta rakan sekutu dalam Pakatan Rakyat (PR) merampas Putrajaya daripada Barisan Nasional (BN).
Idea itu menurut beliau sama dengan strategi politik Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan semasa menjadi Datuk Bandar Istanbul serta bekas Datuk Bandar Solo, Joko Widodo yang disebut-sebut bakal calon Presiden Indonesia yang berpindah untuk menjadi Gabenor Jakarta.
Jelas beliau, langkah meletakkan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon bagi PRK DUN Kajang adalah untuk menyediakan pilihan kepimpinan sekiranya ada keperluan nanti.
“Adakah ini bermakna akan ada perubahan kepimpinan dalam kerajaan Selangor? Mungkin ya, mungkin tidak,” kata beliau sekaligus secara tidak langsung membayangkan kemungkinan ada rancangan untuk menggantikan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim, hanya siapa calonnya masih menjadi teka-teki.
Rafizi juga mengakui langkah itu tidak popular tetapi diperlukan oleh PR untuk menjadikan Selangor sebagai kubu kuatnya.
Tidak habis setakat itu, senarai permohonan maaf Rafizi hari ini turut dibuat atas kesedaran strategi yang dirancang beliau bertanggungjawab mencetuskan perbezaan pendapat bukan sahaja di dalam PKR malahan juga dengan pasti sekutu dalam PR terutama PAS Selangor.
Ia mengakibatkan rakyat kecewa kerana melihat wujud puak-puak dalam PR namun menjelaskan ia sedang ditangani.
Selain dikecam parti sekutu dalam PR, strategi drastik Rafizi itu turut dikutuk badan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan pilihan raya yang bersih, telus dann adil iaitu BERSIH2.0.
Bekas ADUN Kajang, Lee Chin Cheh mengosongkan kerusi yang dimenanginya dalam Pilihan Raya Umum ke-13 pada Isnin setelah menghantar surat perletakan jawatan atas alasan “demi kepentingan politik” yang berkuatkuasa serta-merta kepada Speaker DUN Selangor Hanna Yeoh, Isnin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan