KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia harus mengeluarkan mesej yang jelas bahawa hak untuk pembangunan rakyat bukan lagi monopoli parti politik.
Ini adalah pendapat bekas Ahli Parlimen Balik Pulau Yusmadi Yusoff yang berkata demikian semasa memberi komen tentang tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) semalam yang menamakan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang.
Menurut beliau perkara sebegini pernah berlaku di Eropah satu ketika dahulu apabila wakil demokrasi mengalami krisis keyakinan kerana mereka gagal untuk mewakili rakyat.
"Saya mencabar dan memprovokasikan rakyat Malaysia untuk berkata ini bukan reka bentuk demokrasi yang kita hendak. Akhirnya orang yang sama bincangkan tentang harga barang naik, orang yang sama bincangkan tentang kepentingan rakyat, tetapi perkara-perkara yang dibincangkan tidak digambarkan dalam keputusan-keputusannya," katanya di dalam wawancara Analisis Awani.
Yusmadi berkata pencalonan Anwar oleh PKR menampakkan bahawa Malaysia berada di dalam tahap politik yang tidak memberi satu harapan langkah jauh.
"Harapan rakyat yang diangkat amat tinggi, tetapi apabila kita keputusan-keputusan begini dibuat, ini bukan politik baru tetapi permainan politik baru.
Sebuah parti (PKR) yang mempunyai pengalaman memerintah, saya mohon, bukan ini caranya.
"Hak memilik calon adalah hak parti politik, hak memilih adalah hak rakyat.
"Apa krisisnya di Kajang itu? Adakah sebabnya ia mendapat 6,000 majoriti di dalam pilihan raya yang lepas?. Adakah sebab populasinya rakyat Cina?
"Kalau itu isunya, kawan-kawan Cina saya, buktikan pemilihan kamu bukanlah berdasarkan warna kulit," katanya.
Pengumuman pencalonan itu dibuat oleh Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim semasa satu sidang media di ibu pejabat PKR semalam.
"Berikutan kekosongan kerusi DUN Kajang ekoran perletakan jawatan penyandangnya yang juga dari PKR, mesyuarat pimpinan pakatan rakyat memutuskan untuk meletakkan Datuk Seri Anwar sebagai calon yang akan mewakili pakatan rakyat," katanya.
Pada Isnin, ADUN Kajang Lee Chin Cheh, telah meletakkan jawatannya yang disebut-sebut bagi memberi laluan kepada Anwar untuk menjadi Menteri Besar Selangor.
Ekoran itu, Anwar menafikan beliau akan mengambil alih tempat Khalid sebagai Menteri Besar Selangor.
Dia berkata, dakwaan itu hanyalah spekulasi dan sudah diperkatakan sejak 2008 lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan