Abdullah Munsyi lantang persoal amalan karut halang kemajuan
Tahun ini genaplah 160 tahun Abdullah Munsyi meninggal dunia. Beliau dilahirkan di Melaka pada 1796 dan meninggal dunia di Jeddah pada Oktober 1854 ketika usia 58 tahun. Pada masa itu Jeddah di bawah pemerintahan kerajaan Uthmaniah. Jasadnya sudah tiada, tetapi karya yang diulang cetak membolehkan kita terus membaca tulisan tokoh berjasa dan kontroversi ini.
Kalaulah Abdullah masih hidup di tengah kemelut penggunaan perkataan Allah oleh penganut agama Kristian di Malaysia sekarang, tidak syak lagi beliau akan berada dalam kedudukan paling panas. Ini kerana pada 1815 beliau menterjemahkan Bible ke dalam bahasa Melayu. Beliau juga menterjemahkan beberapa teks bagi pihak London Missionary Society, dan bertugas dengan American Board of Missions.
Pada zamannya Abdullah dianggap sebagai orang Melayu paling berbudaya dan berpengetahuan pernah menghasilkan karya, yang mengangkat persuratan Melayu ke takah lebih tinggi, dan dianggap sebagai pelopor kesusasteraan Melayu moden”
Jadi penterjemah, guru
Abdullah berdarah Arab Hadhrami, Tamil dan Melayu. Antara gurunya adalah ayah sendiri yang terdidik, membolehkan ayahnya menjadi penterjemah dan guru. Peranan berkenaan disambung oleh Abdullah kepada pihak Belanda dan Inggeris, termasuk mubaligh dan saudagar Inggeris dan Amerika Syarikat (AS) di kepulauan Melayu, terutama di Melaka dan Singapura.
Pada zamannya Abdullah dianggap sebagai orang Melayu paling berbudaya dan berpengetahuan pernah menghasilkan karya, yang mengangkat persuratan Melayu ke takah lebih tinggi serta dianggap sebagai pelopor kesusasteraan Melayu moden.
Beliau dianggap bapa kesusasteraan Melayu moden kerana pertama kali secara realistik mengangkat kisah manusia seharian dalam bentuk autobiografi, menggunakan bahasa Melayu yang meninggalkan gaya berbahasa hikayat, serta karyanya tersebar luas atas bantuan teknologi percetakan pada zaman itu. Ismail Hussein adalah sarjana tempatan yang percaya label ini, berbeza pendapat Syed Naquib Al-Attas bahawa tokoh persuratan Melayu moden yang awal ialah Hamzah Fansuri kerana puisi sufisme vertikal ketuhanannya, melalui bahasa Melayu tinggi yang luar biasa diksi serta maknanya.
Bakatnya mengarang dikesan oleh seorang mubaligh Kristian bernama Alfred North. Beliaulah yang memberi galakan kepada Abdullah, sehingga Abdullah dapat menulis dan menyelesaikan beberapa karya. Ini termasuk Syair Singapura Terbakar, Hikayat Abdullah, Kisah Pelayaran Abdullah ke Kelantan, terjemahan Hikayat Panca Tenderan, Hikayat Kalilah dan Daminah, serta penerbitan semula Sejarah Melayu.
Kritikan sosial
Dalam Hikayat Abdullah yang menonjolkan autobiografinya, ia turut menyampaikan beberapa kritikan sosial terhadap orang Melayu. Ada beberapa amalan budaya, pendidikan, serta kepercayaan karut orang Melayu dikupasnya. Di samping itu, Abdullah mengkritik Raja Melayu dan pentadbirannya dengan lantang, suatu sampel daripada pelayarannya ke Kelantan. Inilah satu lagi sisi kontroversi Abdullah.
Raja Melayu pada masa itu dilihat saling bercakaran dengan pesaingnya, mementingkan diri, tidak mengutamakan pendidikan, tidak menghiraukan kebajikan rakyat, malah tidak melayan rakyat menurut cara yang beradab. Ini, ujar Abdullah, berbeza dengan tradisi kepemimpinan dan kerajaan Inggeris.
Sudah tentu kritikannya terasa pedas, terutama mereka yang ‘termakan cili’. Tetapi, tiada sesiapa dari istana Melayu pada masa itu yang mengambil tindakan ke atasnya. Bagaimana mungkin Raja Melayu yang tidak berpendidikan akan melakukan wacana balas terhadap Abdullah? Lebih-lebih lagi Abdullah dilihat sebagai pujangga dan intelektual Melayu pada zamannya yang mendapat naungan serta perlindungan pihak Inggeris.
Di balik tokoh yang kontroversi ini, Abdullah amat menyanjung bahasa Melayu yang menjadi medium pengucapan kreatifnya. Ia menyeru bangsa Melayu mencintai dan memajukan bahasa Ibunda ini. Di samping itu Abdullah menyeru, lebih 160 tahun lalu, agar orang Melayu berlumba-lumba mencari ilmu pengetahuan. Dengan ilmu pengetahuan sesuatu bangsa itu menjadi maju dan memberi erti kepada kehidupan di dunia ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan