KUALA LUMPUR 25 Jan. - Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din, 74, yang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) sejak kelmarin, kini stabil.
Sehingga lewat petang ini, beliau menerima rawatan di Unit Rawatan Koronari (CCU) dan berada dalam keadaan sedar serta dibenarkan menerima kunjungan tetamu.
Bagaimanapun, menurut sumber yang rapat dengan keluarga beliau, buat masa ini, doktor tidak membenarkan Haron menerima terlalu ramai pelawat bagi membolehkannya berehat.
"Beliau beransur pulih dah masih ditempatkan di CCU kerana kesihatannya yang agak terganggu," katanya..
Difahamkan, sebelum ini Haron sudah lima kali menerima rawatan berkaitan masalah jantung iaitu pertama kali di Australia dan dua kali di IJN serta Amerika Syarikat.
Menurut sumber berkenaan, Haron dimasukkan ke IJN selepas penggunaan ubat pengembangan salur darah (GTN) gagal meringankan kesakitan di bahagian dadanya.
Katanya, kesihatan Haron terjejas mungkin kerana beliau terlalu kuat bekerja dan sibuk dengan pelbagai program terutama sejak minggu lepas.
Dalam pada itu, Facebook rasmi Haron, 'Tuan Guru Dato' Dr. Haron Din (Official)' semalam memuat naik komen bahawa beliau beransur pulih dan tidak kritikal seperti digembar-gemburkan sesetengah pihak.
"Marilah kita sama-sama memanjatkan doa memohon agar Allah mengurniakan kesihatan dan kekuatan yang berpanjangan demi perjuangan Tuan Guru menyebarkan ajaran Islam," jelas Facebook berkenaan.
Sementara itu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad adalah antara pemimpin yang melawat Haron di IJN hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan