30 Januari 2014

Angry Birds alat risikan?



London: Aplikasi Angry Birds untuk telefon pintar didakwa digunakan perisik untuk mengintip warga Britain.

Akhbar Guardian melaporkan, berdasarkan dokumen didedahkan bekas perisik Edward Snowden, aplikasi rangkaian sosial dan peta turut dieksploitasi Ibu Pejabat Komunikasi Kerajaan (GCHQ) Britain dan Agensi Keselamatan Kebangsaan (NSA) AS.

Dokumen sulit diperoleh akhbar itu menunjukkan aplikasi telefon pintar disalahgunakan untuk mendapatkan butiran peribadi seperti usia, jantina dan lokasi seseorang selain kenalan dan laman web dilayari.

Menurut dokumen itu, kebanyakan laman media sosial seperti Facebook dan Twitter membuang data meta mengandungi maklumat berhubung lokasi yang boleh diperoleh sebelum sesuatu gambar disiarkan.

Bagaimanapun, maklumat sedemikian masih boleh dikutip agensi risikan ketika proses muat naik.

Dokumen sulit itu mendedahkan antara data yang dapat diperoleh termasuk maklumat sensitif seperti orientasi seksual atau tabiat seksual seseorang.

Sementara itu firma pembuat Angry Birds, Rovio Entertainment berkata, mereka tidak terbabit dengan GCHQ atau NSA, selain tidak tahu mengenai dakwaan berkenaan.

Jurucakap NSA pula menafikan dakwaan berkenaan dan menegaskan aktiviti risikan dilakukan mengikut perundangan dan hanya terhadap sasaran sahih.

“NSA tidak berminat mengetahui komunikasi harian orang awam yang bukan sebahagian daripada badan risikan antarabangsa.

“Sebarang dakwaan NSA mendapatkan maklumat risikan antarabangsa melalui laman media sosial atau telefon pintar adalah palsu semata-mata.

“Kami hanya mendapatkan bahan komunikasi yang dibenarkan mengikut undang-undang,” katanya.- Agensi

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
\ /