25 Januari 2014

MB Selangor, Abdul Khalid Perlu Digantikan




SHAH ALAM 24 Jan. - Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor sebulat suara bersetuju tanpa sebarang bantahan supaya Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meletak jawatan sebagai Menteri Besar dan perlu digantikan dengan individu lain.

Ahli Parlimen Kuala Langat dari PKR, Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, kedudukan Abdul Khalid sememangnya dibincangkan dalam satu mesyuarat Majlis Pimpinan PKR Selangor yang dipengerusikan oleh Pengerusi PKR negeri, Azmin Ali baru-baru ini.



"Memang dalam mesyuarat tersebut kita ada membangkitkan kedudukan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar dan kita telah membuat keputusan supaya beliau digantikan," katanya ketika dihubungi.

Beliau mengulas desas-desus wujud desakan kuat daripada kepemimpinan PKR khususnya di negeri ini yang mahu Abdul Khalid digantikan daripada terus memegang jawatan Menteri Besar.

Desakan itu dikatakan berkait rapat dengan rasa tidak puas hati dalam kalangan kepemimpinan PKR Selangor terhadap corak pentadbiran Abdul Khalid di negeri ini.

Sebelum ini Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR dilaporkan sering mengkritik pentadbiran Abdul Khalid melibatkan beberapa isu antaranya menyelar keputusan kerajaan negeri menaikkan gaji dan elaun anggota pentadbiran Selangor di antara 80 hingga 373 peratus berkuat kuasa Januari 2014.

Selain itu, Azmin juga dilaporkan pernah bertindak melalui Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Negeri Selangor mengemukakan memorandum kepada Abdul Khalid ekoran tidak berpuas hati dengan pengurangan peruntukan pembangunan oleh kerajaan negeri.

Walau bagaimanapun, apa yang dinyatakan Abdullah Sani itu dilihat bercanggah dengan kenyataan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution semalam yang menafikan Azmin bakal menggantikan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar.

Menurut Saifuddin, isu tersebut tidak dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR pada 15 Januari lalu.

Dalam pada itu, Abdullah Sani yang juga Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menegaskan, keputusan menggantikan Abdul Khalid tersebut dibuat berasaskan keadaan pentadbiran negeri yang dilihat tidak menepati aspirasi parti.

"Keputusan itu dibuat atas sebab cara Abdul Khalid mentadbir negeri ini membabitkan isu-isu tertentu antaranya industri air, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), kenaikan elaun Menteri Besar dan anggota pentadbiran negeri," ujarnya.

Walau bagaimanapun, beliau memberitahu, keputusan sebulat suara itu belum dibawa ke pihak PKR Pusat untuk dibincangkan dan diputuskan bersama pimpinan tertinggi pakatan pembangkang yang lain dari DAP dan Pas.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
\ /