17 Ogos 2013

The New Village : Jangan Biar Kaduk Naik Junjung




Saya terkejut dan terperanjat apabila dimaklumkan bahawa filem The New Village bukan sahaja memuatkan unsur-unsur komunisme tetapi juga mengagung-agungkan perjuangan komunis. Ada beberapa isu pokok yang perlu diberi perhatian dalam perkara ini.


Pertama, fahaman komunisme ini adalah haram di sisi agama Islam dan perundangan negara. Maka, filem ini dengan sendirinya menjadi haram, apatah lagi sekiranya ia memperlekehkan perjuangan wira-wira negara semasa mempertahankan tanah air.

Kedua, siapakah dalang yang mengarang, mengarah dan menerbitkannya? Mereka inilah yang harus dipertanggungjawabkan kerana membelakangkan aspirasi negara.
Apakah motif mereka sebenarnya? Alasan berkarya tidak dapat kita terima kerana filem ini berupaya mempengaruhi minda terutamanya anak muda yang kebelakangan ini cetek kesedaran sejarah.

Ketiga, siapakah barisan cerdik pandai di Lembaga Penapisan Filem (LPF) yang meluluskan filem ini? Nampaknya barisan penapis LPF tidak peka kepada aspirasi negara. Mungkin perlu dirombak atau diberi latihan!

Keempat, sudah sampai masanya kerajaan bertindak tegas! Bukan sahaja mengenai isu filem The New Village ini malah apa-apa sahaja yang dilihat bertentangan dengan undang- undang negara.

Lihat di Thailand, diusik sedikit sahaja kedudukan raja mereka, maka tindakan diambil kerana itulah undang-undang mereka.

Tetapi di Malaysia, kita lihat terlalu kerap kerajaan bertolak ansur dalam menangani isu-isu sensitif sehinggakan 'kaduk kini telah pun naik junjung'. Percayalah majoriti rakyat mahukan keharmonian dan kesejahteraan.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
\ /