20 Februari 2014

Maya Karin Belum Mahu Kahwin



Heroin filem 'Ombak Rindu', Maya Karin menjelaskan yang dia kini tiada sebarang perancangan untuk menamatkan zaman solonya pada tahun ini.

"Setakat ini untuk tahun 2014, saya belum ada lagi perancangan untuk mendirikan rumah tangga. Bercakap pasal kahwin, bukan dalam masa terdekat. Saya mahu fokus kepada kerjaya sahaja terlebih dahulu," ujar Maya ketika ditemui sebelum majlis tayangan filem 'Sejoli' di Cathay Cineplex, Damansara pada Jumaat.



"Kalau tahun hadapan pun, saya belum tahu lagi. Sejujurnya saya langsung tidak meletakkan tarikh sasaran saya untuk mengakhiri zaman solo. Bagi saya, biarlah perkara itu datang sendiri, 'go with the flow' bak kata orang," katanya lagi.

Dalam filem terbaru Maya yang berjudul 'Sejoli', dia memegang watak sebagai Gina, seorang gadis yang berperwatakan agak kelam-kabut. Filem terbitan Grand Brilliance dan Nuansa Films itu diarahkan oleh Osman Ali.

"Saya membawa watak sebagai Gina, bekas tunangan kepada Hardy, lakonan Remy Ishak. Saya berperwatakan agak kelam kabut. Kadang-kadang watak tersebut terbawa-bawa ke luar set penggambaran. Kadang-kadang saya tumpahkan air, terlanggar barang-barang di lokasi dan sebagainya," tutur pelakon filem 'Cun' ini lagi.

Tutur Maya, cabaran untuknya dalam melakonkan watak Gina adalah kurang kerana watak dan jalan cerita yang cuba ditonjolkan oleh Osman bersifat santai dan ringan. Ujar Maya lagi, dia selesa berlakon di bawah arahan Osman dan bekerja dengan barisan pelakon lain adalah menyenangkan kerana mereka semua memberikan komitmen yang baik.

'Sejoli' menampilkan Maya Karin, Bront Palarae, Remy Ishak, Izara Aishah, Azad Jazmin, Dira Abu Zahar dan ramai lagi. Filem ini bakal ditayangkan di pawagam pada 20 Februari ini. Selain itu, Maya bakal muncul menerusi filem 'Lagenda Budak Setan 3', 'Jwanita' dan 'Nota'.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
\ /