Anyonghaseyo! Lama ternanti-nanti kemunculan semula selebriti lelaki paling berpengaruh Korea Selatan, Rain selepas tamat menjalani latihan khidmat ketenteraan, peminat sudah boleh menarik nafas lega sekarang.
Menjadi antara perintis kepada kegemilangan gelombang K-Pop, pelakon, penyanyi dan model itu sememangnya meninggalkan impak hebat sehinggakan pemergiannya ke pusat latihan itu ditangisi peminat.
Mana tidaknya, pemergian itu bermakna hubungan mereka (peminat) akan ‘terputus’ buat sementara waktu bersama idola kesayangan mereka itu.
Bagaimanapun, tahun 2014 tentu menjadi masa terbaik untuk peminat kembali bertaut dengan jejaka tampan ini lantaran dia dalam proses membuat ‘comeback’ di mana rencana kariernya tampak disusun rapi.
Sibuk dengan kemunculan album baru, tidak terkecuali penyanyi berkenaan juga akan memeriahkan sambutan Twin Towers @Live 2014 yang bakal berlangsung di Menara KLCC, Mac nanti.
Tentu sekali istimewa terutama buat peminat tempatan yang sekian lama mahu melihat semula aksinya di pentas, inilah masa terbaik untuk menemui penyanyi kesayangan mereka itu.
Selepas tamat latihan berkenaan, sebelum ini Rain sudah membuat kemunculan pertamanya di acara pembukaan butik MCM di Singapura pada penghujung tahun lalu.
Mengintai kisah hangat terbaru dunia K-Pop, Hallyu! minggu ini berkongsi cerita mengenai kumpulan yang cukup dikenali dengan kehebatan lagu rock mereka, FT Island.
Menerusi satu program TV, baru-baru ini yang ada menyebut mengenai rakaman di bilik mandi FT Island, nampaknya cukup menarik perhatian peminat.
Apa tidaknya, menurut seorang anggotanya, Seong Seung Hyun, dia tidak dapat membayangkan bagaimana kesannya terhadap karier kumpulan itu sekiranya video berkenaan disebarkan.
“Hongki mempunyai perangai tidak senonoh yang sangat suka mengambil video sewaktu anggota lain sedang mandi. Andai saja video di telefonnya itu tersebar, memang akan berakhirlah kumpulan ini,” katanya sekali gus mengejutkan semua orang.
Selain itu, Seong Seung Hyun malah membongkar mengenai kegiatan mereka yang sentiasa mengambil foto yang bukan setakat lucu, malah sangat melampau jika didedahkan.
Tidak terkejut dengan kenyataan itu, hos rancangan berkenaan, Shin Dong, malah menokok tambah isu terbabit berdasarkan apa yang pernah didengarnya mengenai FT Island.
“Saya sudah pernah mendengar semua itu sebelum ini. Mana-mana anggota yang takut gambar mereka diambil sewaktu mandi, saat melangkah ke bilik mandi mereka akan segera berlagak kelihatan hebat,” katanya diikuti gelak tawa penonton yang hadir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan